Daripada aktivis kepada Menteri Pendidikan

in Nasional by

Fadhlina Sidek
KUALA LUMPUR – Pengalaman sebagai aktivis dan peguam dalam undang-undang keluarga Islam serta hal kebajikan kanak-kanak dilihat mampu membantu Fadhlina Sidek dalam melaksanakan tugasnya sebagai Menteri Pendidikan yang baharu.

Sebelum aktif dalam politik, Fadhlina, 45, banyak terlibat dalam perkara berkaitan literasi undang-undang keluarga Islam, perlindungan serta keselamatan kanak-kanak selain mempunyai firma guaman syarie sendiri.

Kerjaya politik beliau bermula pada 2020 selepas menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan dilantik sebagai Pengerusi Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti Wanita PKR, sebelum memenangi pemilihan PKR untuk jawatan Ketua Wanita parti itu pada Julai tahun ini.

Beliau juga merupakan Ahli Dewan Negara yang dilantik pada 1 September 2021 bagi mewakili Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Anak kepada bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM),Datuk Dr Siddiq Fadzil itu, mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Semenyih sebelum menamatkan alam persekolahan pada 1994 di Sekolah Agama Menengah Hulu Langat, Kajang, Selangor.

Fadhlina kemudian melanjutkan pengajian tinggi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) dan LLB (Syariah) pada 2002, selain meraih Ijazah Sarjana Undang-Undang (LLM) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2008.

Beliau telah mendirikan rumah tangga dengan Mohd Fadzli Arsad dan dikurniakan enam cahaya mata.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15, Fadhlina pertama kali dicalonkan oleh PKR untuk bertanding di Parlimen Nibong Tebal dan berjaya menewaskan penyandang Datuk Mansor Othman yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti 16,293 undi. – Bernama