'Diharap ringgit mengukuh, dapat kurang kos import makanan'

in Nasional by

Mohamad Sabu

KULIM – Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berharap nilai mata wang ringgit terus mengukuh sekali gus dapat mengurangkan kos import bahan makanan.

Beliau yang baharu dilantik sebagai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, trend pengukuhan ringgit dapat dilihat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan berharap situasi itu berterusan.

“Dengan pertukaran kerajaan dan pelantikan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), keyakinan mula berlaku sehingga mata wang kita menaik begitu mendadak dan kita harap ia dapat bertahan dan lebih baik pada masa akan datang.

“Nilai import kita akan lebih murah jika mata wang kita semakin kukuh, itulah harapan kita dan kenaikan ini memang satu perkara yang menakjubkan dalam masa 10 hari selepas pilihan raya,” katanya kepada pemberita di sini malam Jumaat.

Katanya, walaupun baru-baru ini nilai ringgit berada pada hampir RM4.80 dan diunjur merosot kepada RM5 pada bulan ini berbanding dolar Amerika Syarikat, namun keadaan sebaliknya berlaku apabila ia mengukuh kepada kira-kira RM4.40 ketika ini.

Mengulas mengenai pengumuman senarai menteri kabinet, Mohamad berkata, Perdana Menteri telah menunaikan janjinya untuk membentuk kabinet kecil membabitkan 28 menteri di bawah pentadbirannya.

Menurut beliau, berdasarkan saiz kabinet itu kerajaan perlu melakukan tugas yang lebih besar dan berat kerana bilangan menteri yang lebih sedikit berbanding sebelum ini.

Ditanya sama ada Amanah berpuas hati dengan bilangan pemimpin parti itu yang dilantik ke dalam kabinet, beliau berkata, pengumuman pada Jumaat hanya membabitkan senarai menteri dan akan disusuli dengan jawatan timbalan menteri selepas ini.

Terdahulu beliau menghadiri ceramah PRU15 Padang Serai yang turut disertai Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar dan Pengerusi Barisan Nasional Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. – Bernama