Dr Zaliha teruskan perjuangan isu kesihatan di KKM

in Nasional by

Dr Zaliha Mustafa. Foto: Bernama
KUALA LUMPUR – Menjadikan isu kesihatan sebagai agenda utama dalam perjuangan politiknya, Dr Zaliha Mustafa merupakan individu sesuai memimpin Kementerian Kesihatan (KKM).

Diumum sebagai Menteri Kesihatan dalam Kerajaan Perpaduan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Sekijang itu dilahirkan pada 28 Jun 1964 dalam keluarga serba sederhana dan menetap di Jalan Mahmoodiah, Johor Bahru.

Dr Zaliha bersekolah di Sekolah Rendah Perempuan Sultan Ibrahim (SIGS) dan kemudiannya menerima tawaran memasuki Maktab Rendah Sains Mara Kota Bahru, Kelantan.

Keputusan cemerlang yang diperoleh dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membolehkan anak sulung daripada lapan beradik itu melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan.

Ketika itu, beliau menerima pelbagai tawaran bagi mengikuti pengajian di luar negara, namun memilih untuk melanjutkan pelajaran di tanah air iaitu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan dikurniakan dengan Ijazah Doktor Perubatan UKM.

Dr Zaliha memulakan kerjaya sebagai seorang doktor siswazah di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru dari 1989 hingga 1990, sebelum berkhidmat sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Daerah Pekan, Pahang selama 10 bulan.

Beliau juga pernah bertugas sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Daerah Taiping lebih dua tahun, sebelum kembali ke Johor pada 1995 dan bekerja di klinik swasta bersama Kumpulan Perubatan Penawar serta memiliki kliniknya sendiri di Bandar Putra Kulai.

Dr Zaliha memulakan kerjaya politiknya bersama PKR dan bertanding sebagai calon Pakatan Harapan (PH) di kerusi Gelang Patah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12.

Beliau kemudian bertanding di kerusi Parlimen Sekijang pada PRU15 lepas dan memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 1,734 undi. – Bernama