Dua penuntut Unisel terima Anugerah Khas Perdana Menteri

in Nasional by

Muhammad Fairuz & Sangetha

KUALA SELANGOR – Dua penuntut Universiti Selangor (Unisel) dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Perdana Menteri buat julung kalinya pada Istiadat Konvokesyen Unisel ke-16 pada Sabtu.

Penerima anugerah itu ialah graduan Ijazah Doktor Falsafah Komputeran (PhD), Dr Muhammad Fairuz Abd Rauf dan penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (kepujian) M Sangetha.

Menurut Muhammad Fairuz, 40, kejayaannya itu adalah berkat doa serta restu ibunya, Zainab Sheikh Yusoff, 72, dan isterinya, Umi Sofia Saad, 40.

“Saya bersyukur kerana dua insan paling istimewa dalam hidup saya tidak pernah putus berdoa dan memberi sokongan serta dorongan untuk saya berjaya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Muhammad Fairuz yang juga pensyarah dan Pengarah Pusat Teknologi Komunikasi dan Informasi Unisel Shah Alam berkata, antara rahsia kejayaannya itu, beliau juga kerap mengamalkan solat sunat tahajud pada awal pagi.

Ujar beliau, pengurusan masa juga amat penting supaya tidak memberi bebanan dan tekanan semasa bekerja dan sebagai penuntut.

“Saya akui ada kala komitmen terlalu tinggi, tetapi saya amalkan bangun awal pagi untuk menunaikan ibadah selain selesaikan penyelidikan dan penulisan,” jelas beliau.

Katanya, sebagai pensyarah, beliau juga perlu menyambung pengajian bagi peningkatan kerjaya dan menambah ilmu pengetahuan sedia ada.

Bapa kepada seorang anak perempuan berusia sembilan tahun memberitahu, kerjaya sebagai pensyarah memerlukan mereka menyambung pengajian hingga peringkat tertinggi dan peluang itu digunakan dengan sebaik-baiknya untuk memperoleh kecemerlangan dalam pendidikan.

“Ramai rakan pensyarah juga sudah menyambung pengajian PhD dan saya tekad untuk menjadi sebahagian daripada mereka yang telah berjaya,” katanya.

Seorang lagi penerima anugerah sama, Sangetha, 23, berkata, perasaannya teruja apabila dipilih menerima anugerah itu yang kali pertama diperkenalkan sejak penubuhan Unisel.

Sangetha yang berasal dari Klang memberitahu, semasa mula-mula mengikuti pengajian peringkat ijazah di Unisel empat tahun lalu dia hanya mahu belajar bersungguh-sungguh.

“Saya ada hasrat menjadi pelajar terbaik dalam jurusan perakaunan sahaja, tetapi tidak menyangka memperoleh anugerah tertinggi pada konvensyen kali ini.

“Terima kasih kepada ibu bapa dan keluarga, pensyarah serta rakan yang banyak membantu sepanjang menuntut di Unisel Shah Alam,” katanya.

Seramai 1, 319 graduan merangkumi 228 penuntut tahun asas, 242 graduan pengajian peringkat diploma, 819 peringkat ijazah sarjana muda, 18 graduan ijazah sarjana dan 12 graduan PhD.