Hamzah sedia beri 'tips' pada Saifuddin

in Nasional by

Hamzah

LARUT – Bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin sedia berkongsi panduan kepada peneraju baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi membantu memahami peranan dan fungsi kementerian itu.

Menurut Hamzah, perkara itu dilakukan adalah untuk kepentingan negara selain mengenali Saifuddin sebagai sahabat.

“Saifuddin ini sahabat saya, saya kenal ketika zaman Pemuda UMNO, bukan baharu kenal beliau.

“Apa pun yang kita lakukan adalah untuk kepentingan negara. Kalau sesuatu untuk negara, saya boleh berikan perkara-perkara yang saya rasa baik untuk beliau terus perjuangkan,” katanya pada Majlis Kesyukuran Parlimen Larut di Tapak Bazar Ramadan di Selama di sini pada Sabtu.

Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut mengulas laporan media mengenai hasrat Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) itu untuk mendapatkan tips atau panduan daripadanya.

Saifuddin Nasution menghormati Hamzah selaku bekas Menteri Dalam Negeri selain mempunyai hubungan baik dengannya sejak puluhan tahun yang lepas.

Malah ketika dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada 2018, beliau juga banyak belajar daripada Hamzah yang menerajui kementerian itu pada zaman kerajaan Barisan Nasional.