Ireland sekat hajat Speedy Tigers

in Sukan by

Aksi Malaysia menentang Ireland dalam perlawanan separuh akhir Piala Negara-Negara FIH 2022. Foto: FIH / World Sports Pics

HASRAT The Speedy Tigers untuk ke final Kejohanan Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) 2022 tidak kesampaian apabila tewas 0-3 kepada Ireland dalam aksi separuh akhir di Potchefstroom, Afrika Selatan pada Sabtu.

Babak pertama perlawanan menyaksikan aksi seimbang antara kedua-dua pasukan yang mengheret perlawanan terikat tanpa jaringan.

Namun Ireland kemudian tampil garang apabila akhirnya memecah kebuntuan menerusi jaringan padang Benjamin Walker pada minit ke-41.

Anak buah Arul Selvaraj terus ketinggalan apabila Jeremy Duncan meledak gol kedua Ireland menerusi jaringan padang pada minit ke-43.

Duncan kemudian menambah gol jaringan padangnya kedua peribadinya sekali gus gol ketiga Ireland pada minit ke-52.

Kemenangan itu menyaksikan Ireland akan berdepan sama ada Korea Selatan ataupun tuan rumah, Afrika Selatan di perlawanan akhir.

Sementara itu, tugas Speedy Tigers juga belum berakhir apabila akan mengharungi perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Sementara itu, Kapten Speedy Tigers, Muhammad Najmi Farizal Jazlan mengakui para pemain kecewa dengan kekalahan tersebut.

Namun jelas Najmi Farizal, tugasan para pemain masih belum berakhir kerana akan mengharungi perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat

“Ya, kami amat kecewa tewas dalam perlawanan ini, dan saya tidak tahu bagaimana untuk mengungkapkannya…

“Namun kami akan recovery dan beri tumpuan untuk perlawanan berikutnya bagi penamat podium,” kata benteng pertahanan itu.