'Isu UEC bukan libatkan pengiktirafan' – Eddin

in Nasional by

Eddin ketika program Di Sebalik Isu Bersama FY bertajuk ‘Isu UEC, sampai bila?’ yang dihoskan Finaz Yunus di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Jumaat.

SHAH ALAM – Isu sijil Unified Examination Certificate (UEC) sebenarnya bukanlah melibatkan pengiktirafan secara umum tetapi lebih kepada soal memberi pelepasan terhadap calonnya untuk menyambung pelajaran di institut pengajian tinggi (IPT).

Bekas pengerusi jawatankuasanya, Eddin Khoo berkata, penggunaan perkataan ‘pengiktirafan’ terhadap sijil itu sebenarnya tidak sesuai kerana dilihat bercanggah dengan dasar pendidikan kebangsaan yang mengatasi segala-galanya.

Menurut beliau, pelepasan kepada calon sijil tersebut untuk menyambung pelajaran di IPT sepatutnya tidak menjadi masalah kerana institut berkenaan turut menerima pelajar warga asing dengan sijil luar yang bukan bersilibuskan tempatan.

“Di IPT sekarang pun ada penuntut warga asing dan ini adalah untuk mengangkat konsep budaya dan persaingan dalam universiti kita.

“Jadi, mungkin kita boleh melihat atau memandang serta mendekati UEC daripada perkara tersebut daripada segi sistem yang berbeza tetapi calonnya merupakan warganegara,” katanya ketika program

Di Sebalik Isu Bersama FY bertajuk ‘Isu UEC, sampai bila?’ yang dihoskan Finaz Yunus di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Jumaat.

Hadir sama dalam program tersebut, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Ibrahim Shah Abu Shah dan Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia, Datuk Abdul Rauf Husin.

Eddin bagaimanapun menegaskan beliau menyokong dasar pendidikan kebangsaan dan tidak mempunyai masalah dengannya.

“Saya merupakan pendukung kepada pendidikan kebangsaan bahkan ayah saya, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, takkan saya nak tolak falsafah dan pendiriannya,” kata beliau dengan nada berseloroh.

Pada masa yang sama, beliau mencadangkan supaya silibus pendidikan kebangsaan diperkasa supaya tidak sekadar melahirkan warganegara yang patriotik tapi juga mempunyai kualiti yang tinggi.

“Patriotisme harus ditekan tetapi mereka juga harus menjadi peka dengan perkembangan seluruh dunia ketika ini,” ulasnya.