Konvokesyen MSU rai 2,373 graduan

in Nasional by

Dr Mohd Shukri (tengah) bersama para penerima anugerah khas kecemerlangan pada Majlis Konvokesyen MSU ke-30 di Dewan Canselor MSU, Shah Alam, Selangor pada Jumaat.

SHAH ALAM – Seramai 2,373 graduan dari 117 program pengajian menerima skrol pada Majlis Konvokesyen Management & Science University (MSU) ke-30 di Dewan Canselor MSU, Shah Alam, Selangor pada Jumaat.

Daripada jumlah tersebut, 19 graduan menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Sarjana (35), Sarjana Muda (1,580) dan Diploma (739).

Majlis disempurnakan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin yang merupakan Canselor MSU.

Hadir sama Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid dan Naib Canselor MSU, Profesor Puan Sri Dr Junainah Abd Hamid.

Fakulti Sains Maklumat dan Kejuruteraan (FISE) dan Fakulti Pengurusan Perniagaan dan Pengajian Profesional (FBMP) merupakan fakulti dengan bilangan program pengajian terbanyak iaitu 26 program pengajian.

Dr Mohd Shukri berkata, MSU sedang fokus kepada pembangunan program-program pos Covid-19.

“Menyedari landskap pengajian tinggi mengalami perubahan, kita memberi penekanan terhadap pembelajaran secara hibrid dan virtual sebagai salah satu komponen yang sedang kami lihat.

“Berikutan itu, MSU telah melabur pembelajaran dalam talian, micro-credential dan Program Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) untuk memenuhi pasaran pekerjaan yang semakin berkembang,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Beliau memberitahu, ia sebagai usaha menyumbang kepada segmen pasaran usahawan perniagaan kecil dan sederhana (SME) dengan menekankan micro-credential dan APEL.

Tambah beliau, MSU telah membangunkan pusat khas dalam memenuhi segmen pasaran tersebut.

“Pembelajaran hibrid dan virtual ditawarkan untuk semua program-program secara berperingkat-peringkat.

“Selain itu, kita juga bekerjasama dengan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dalam membangunkan micro-credential dan APEL kerana ia merupakan pendidikan masa hadapan,” ujarnya.

Majlis Konvokesyen MSU ke-30 menyaksikan lima kategori anugerah khas kecemerlangan diberikan kepada 65 graduan bagi mengiktiraf pencapaian keseluruhan mereka sepanjang tempoh pengajian dalam bidang masing-masing.

Graduan Bachelor in Finance (Hons), Muhammad Harris Azman, 25, dinobatkan Anugerah Pingat Emas Canselor.

Anugerah Presiden pula menjadi milik Arivananthan Kanakasundar (Master in Science Food Service Technology), 29; Nur Nadeeyah Ahmad Gorden (English Language and Literature Studies (Hons), 22; dan Muhammad Farihin Mohd Faizal (Diploma in Culinary Arts), 20.

Penerima Anugerah Cemerlang, Mohd Shukri Yajid pula adalah Mubarak Salem Mubarak Albukhairi, 24, dan Dr Muhammad Syakir Abd Halek, 26.

Selain itu, 37 graduan menerima Anugerah Akademik dan 22 lagi Anugerah Industri.

MSU merupakan antara universiti terbaik di negara ini dan rantau Asia Tenggara memberi penumpuan kepada penawaran program pengajian berkualiti untuk melahirkan graduan kompeten serta holistik.

Selain itu, fokus juga adalah untuk melengkapkan para graduan dengan kemahiran insaniah dan ilmu teknikal serta membina jaringan kepintaran sosial yang menyeluruh.

Peranan MSU dalam mempelopori dan memperkasakan aspek pembelajaran serta pengajaran berkualiti selaras perkembangan semasa.

Ia telah mendapat pelbagai pengiktirafan dan akreditasi di peringkat domestik serta antarabangsa.

Kajian Pengesanan Graduan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyaksikan kebolehpasaran graduan MSU berada pada tahap 97.5 peratus dan merupakan antara tertinggi di negara ini.