Korea Selatan mara pusingan 16 terbaik

in Sukan by

Hee-chan (tengah) penjaring gol kedua Korea Selatan meraikan jaringan bersama pemain lain ketika perlawanan Kumpulan H Piala Dunia Qatar 2022 menentang Portugal di Stadium Education City, Doha. – Foto EPA

GERGASI Asia, Korea Selatan bangkit menjaringkan gol masa kecederaan untuk menewaskan pasukan pilihan Portugal, 2-1 dalam perlawanan Kumpulan H Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Education City.

Kejayaan menewaskan jagoan bola sepak dunia pimpinan Fernando Santos itu membolehkan Taegeuk Warriors kendalian Paulo Bento mengesahkan slot pusingan 16 terbaik selaku naib juara kumpulan di belakang A Selecao.

Tempat ketiga menjadi milik Uruguay diikuti Ghana yang menyaksikan kedua-dua pasukan tersebut tersingkir daripada meneruskan perjuangan di peringkat 16 terbaik Qatar 2022.

Pemain sayap kelab Liga Premeira Portugal, Ricardo Horta terlebih dulu meletakkan Portugal di hadapan dengan percubaan gol pertama pada minit kelima selepas menyempurnakan hantaran kemas Diogo Dalot.

Korea Selatan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-17 apabila rembatan jarak dekat pemain pertahanan Kim Jin-su menewaskan penjaga gol Diogo Costa, namun jaringan itu dibatalkan kerana ofsaid.

Bagaimanapun, Korea Selatan berjaya menyamakan kedudukan 10 minit kemudian menerusi pemain pertahanan Kim Young-gwon yang menjaringkan gol selepas bola melantun daripada Cristiano Ronaldo hasil sepakan sudut.

Ronaldo, yang memburu gol untuk menyamai rekod keseluruhan Piala Dunia Portugal dengan sembilan gol oleh Eusebio, mendapat peluang pertamanya, namun percubaan kapten Portugal itu diselamatkan Kim Seung-gyu.

Gol dicari Korea Selatan akhirnya hadir menerusi sentuhan Hwang Hee-chan pada minit ke-91′ yang menjinakkan Diogo Costa untuk mata keempat gergasi bola sepak Asia tersebut.