Menteri dari Sabah pastikan aspirasi Borneo diberi perhatian

in Nasional by

Ewon Benedick, Armizan Mohd Ali

KOTA KINABALU – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Armizan Mohd Ali menyifatkan pelantikannya itu sebagai tugas mencabar yang dipikul menerusi pembentukan kabinet Kerajaan Persekutuan yang diumumkan pada Jumaat.

Beliau berkata, ia adalah pengalaman pertamanya berada dalam kabinet Persekutuan termasuk dalam lanskap baharu dan unik menerusi kombinasi ahli jemaah Menteri yang ada.

“Saya diberikan portfolio yang berkait secara langsung dengan suara hati rakyat di Sabah dan Sarawak sejak sekian lama.

“Aspirasi Borneo yang mengharapkan kedua-dua wilayah ini diberikan perhatian dan pengiktirafan yang sewajarnya dalam agenda mengisi serta memperkukuhkan kelestarian Persekutuan Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau turut menyifatkan tanggungjawab yang diberikan itu menarik kerana amanah ini amat dekat dengan inti pati perjuangannya sejak sekian lama khususnya dalam arena politik.

“Antara agenda utama adalah untuk mengusul agenda yang berteraskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” ujarnya.

Beliau dalam pada itu bersyukur kerana sebelum ini telahpun mendapat pendedahan dan terlibat dalam perihal tanggungjawab berkenaan ketika berkhidmat di Pejabat Ketua Menteri Sabah sejak tahun 2020 di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.

“Malah berpengalaman bekerjasama dengan pasukan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) sebelum ini di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

“Saya yakin sedikit pengalaman ini akan dapat membantu pelaksanaan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menyatakan bahawa mandat yang diberikan itu amat penting untuk pembangunan usahawan.

“Sebagai salah seorang daripada dua wakil dari Sabah, saya juga tidak sabar untuk membangkitkan isu-isu penting dan wajar untuk rakyat Sabah dan akan bekerjasama dengan rakan anggota kabinet dalam menyelesaikan isu-isu berbangkit terutama membabitkan hak Sabah.

“Saya juga akan memberi perhatian serius kepada kawasan yang saya wakili iaitu Parlimen Penampang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian yang memerlukan banyak perhatian untuk pembangunan di bawah kerajaan baharu,” katanya.

Sebelum itu, Armizan dan Ewon adalah dua wakil dari Sabah di mana masing-masing mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) terpilih membarisi kabinet Kerajaan Perpaduan.