Mohamad Sabu kembali sebagai menteri kabinet

in Nasional by

Mohamad Sabu
SHAH ALAM – Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu kembali semula menyertai barisan Kabinet sebagai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Mohamad, 68, sebelum ini pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Pertahanan pada Mei 2018 sehingga Februari 2020 menerusi barisan kabinet yang dibentuk kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pada PRU15, Mohamad yang popular dek gaya bersemangatnya serta pandai berjenaka apabila berada di atas pentas ceramah politik berjaya mengekalkan kemenangan beliau untuk dua penggal berturut-turut bagi kerusi Parlimen Kota Raja di Selangor.

Dilahirkan pada 14 Oktober 1954, anak kelahiran Tasek Gelugor, Pulau Pinang itu bersekolah di Pulau Pinang sebelum menyambung pelajaran dalam jurusan Teknologi Makanan, Sains Gunaan di Institut Teknologi MARA (ITM) yang kini dikenali Universiti Teknologi MARA (UiTM) sekitar tahun 1970-an.

Kerjaya politik Mohamad bermula apabila beliau aktif menyertai pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) antaranya Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada 1975 sebelum menganggotai Pas pada 1981.

Mat Sabu memegang pelbagai jawatan dalam Pas antaranya ialah Pemangku Ketua Pemuda Pas dari 1989 hingga 1991 dan Naib Presiden Pas selama dua penggal dari 2007 hingga 2011 serta Timbalan Presiden Pas dari 2011 hingga 2015.

Pada 16 September 2015, Mohamad menubuhkan parti Amanah yang merupakan parti serpihan Pas dan menjadi Presiden pertama Amanah.

Amanah pada awal penubuhannya disertai bekas anggota Pas selepas berlaku perpecahan dalam parti itu (Pas) susulan tindakan parti Islam itu menamatkan kerjasama politik dengan DAP sehingga menyebabkan gabungan Pakatan Rakyat yang mewakili pembangkang ketika itu berakhir.

Mohamad pernah menjadi Ahli Parlimen Nilam Puri, Kelantan dari 1990 hingga 1995; Ahli Parlimen Kubang Kerian, Kelantan dari 1995 hingga 1999; Ahli Parlimen Kuala Kedah di Kedah dari 1999 hingga 2004 dan penyandang bagi kawasan Parlimen Kota Raja dari 2018 hingga kini.

Beliau yang menetap di Shah Alam sejak 1973, berkahwin dengan Normah Alwi dan mempunyai empat orang anak. – Bernama