Nancy tekad sumbang pembangunan masyarakat, negara

in Nasional by

Nancy – Foto Bernama

SHAH ALAM – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri mahu memanfaatkan sebaiknya peluang diberikan sebagai anggota kabinet untuk terus menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.

Beliau berkata, pelantikannya sebagai menteri merupakan satu tanggungjawab dan amanah besar yang akan dipikul.

“Insya-ALLAH, pengalaman dan hubungan baik bersama ahli-ahli jemaah menteri merentasi fahaman politik akan saya manfaatkan sebaiknya untuk terus menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.

“Di samping kerjasama seluruh warga Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam Kerajaan Perpaduan ini,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau dalam masa sama turut menjunjung kasih ke bawah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas perkenan Baginda yang membawa kepada penubuhan Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik dan ketenteraman rakyat Malaysia.

“Setinggi-tinggi penghargaan juga kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan beliau kepada saya untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

“Kemenangan saya dalam Pilihan Raya Umum ini juga merupakan berkat kepercayaan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selaku Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta seluruh kepimpinan parti dan aspirasi rakyat Sarawak,” ujarnya.

Tambah beliau, tidak dilupakan juga kepada ahli-ahli keluarga yang sentiasa bersama menyokongnya pada setiap masa diikuti dengan seluruh warga dan kakitangan kerajaan yang sentiasa komited bertugas demi melaksanakan amanah rakyat.