Pelantikan Ahmad Zahid sukarkan proses rejuvenasi UMNO

in Politik by

Syed Mohd, Ahmad Zahid

JOHOR BAHRU – Pelantikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri menyukarkan lagi proses rejuvenasi UMNO di peringkat akar umbi.

Aktivis Pemuda UMNO, Syed Mohd Syed Nasir berkata, ini kerana alasan diberikan kepada akar umbi berhubung pelantikan tersebut adalah untuk kelangsungan parti itu sukar diterima.

“Akar umbi dimomokkan dengan pelantikan Presiden UMNO sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia demi kelangsungan UMNO sebagai sebuah parti orang Melayu yang terbesar dalam negara.

“Fokus memulihkan keruntuhan moral serta memberi hala tuju yang jelas kepada akar umbi itu sepatutnya lebih utama daripada mengejar kedudukan duniawi. Justeru itu, saya mengharapkan tindakan Presiden UMNO tidak membebankan rakyat di bawah.

“Janganlah ada pemimpin UMNO yang berubah pendirian demi kepentingan peribadi. Pelantikan Presiden UMNO sebagai Timbalan Perdana Menteri bukan tempat untuk dijadikan ‘shelter’ atau pelindung bagi mereka yang menggadaikan maruah perjuangan akar umbi,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kabinet Kerajaan Perpaduan terdiri daripada 28 menteri, selepas seminggu beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

Kesemua anggota kabinet dijadualkan mengangkat sumpah di Istana Negara pada petang Sabtu.

Syed Mohd yang juga Ahli Jawatankuasa Mahasiswa dan Pendidikan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia turut mempersoalkan tindakan Anwnar yang menghalalkan pemimpin kluster mahkamah diberikan ruang mencorak negara.

Beliau mendakwa, tindakan tersebut tidak adil terhadap bekas Perdana Menteri, DatuK Seri Najib Tun Razak yang disifatkannya sebagai seorang pemimpin berjiwa besar dan akur dengan keputusan rakyat.

“Adakah selepas ini ada pelepasan kluster mahkamah lagi,” soalnya lagi.