Pembentukan kabinet dibuat menerusi perbincangan parti-parti

in Nasional by

Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil. – Foto Bernama
KUALA LUMPUR – Kabinet Kerajaan Perpaduan melibatkan lantikan menerusi perbincangan Perdana Menteri dengan pimpinan parti-parti terlibat bagi memberikan kerajaan yang kukuh untuk memacu pembangunan negara, kata Menteri Komunikasi Digital, Fahmi Fadzil.

“Walaupun adalah hak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (dalam pelantikan Jemaah Menteri) tapi beliau faham realiti politik maka kita putuskan satu cara yang sangat berbeza berbanding 2018, 2020 dan 2021 iaitu lantikan oleh Perdana Menteri setelah berbincang dengan parti masing-masing.

“Dulu tidak begitu, kita harap ini akan elak keadaan wujudnya ‘party in a party’ dan struktur parti serta gabungan dihormati.

“Saya percaya itu akan memberi asas yang kukuh kepada Kerajaan Perpaduan ini melaksanakan tugas dan tanggungjawab untuk memulihkan ekonomi seterusnya memacu pembangunan negara,” katanya kepada Bernama.

Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan berkata, Kerajaan Perpaduan yang dibentuk atas titah nasihat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas negara berdepan keadaan Parlimen tergantung ialah bukti hemat dan kebijaksanaan Seri Paduka.

Beliau berkata justeru, terdapat keperluan untuk menjelaskan sifat kerajaan yang dibentuk susulan situasi Parlimen tergantung yang tidak pernah berlaku dalam catatan sejarah negara.

Hari ini, Fahmi adalah antara 27 Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan mengangkat sumpah pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Dan Setia Serta Sumpah Setia di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di sini pada Sabtu.

Turut berangkat pada istiadat itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selain turut dihadiri Perdana Menteri dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ditanya mengenai tumpuan utama beliau dalam menerajui kementerian itu, Fahmi berkata, ia termasuk isu akses Internet termasuk roll-out 5G dan capaian di luar bandar serta keselamatan data peribadi bagi menangani penipuan (scam).

“Saya juga akan menyelami dan menelusuri aspek-aspek bukan sahaja Jalinan Digital Negara (Jendela), malah juga dana Universal Service Provisions yang perlu diguna oleh syarikat-syarikat telekomunikasi untuk memastikan perkhidmatan dan capaian bagi telekomunikasi itu hingga peringkat kawasan desa dan kampung, itu antara keutamaan saya,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan menerusi akaun Facebook beliau, Fahmi berkata, kerajaan yang ada bukanlah Kerajaan Pakatan Harapan yang Perdana Menteri boleh melantik sesiapa yang beliau ingini.

“Ini adalah sebuah Kerajaan Perpaduan yang dibentuk secara bersama…dasar atau keputusan penting akan dibuat secara musyawarah, termasuk dalam isu pelantikan Jemaah Menteri. Ini satu perubahan penting bagi mengelak kesilapan yang berlaku dalam setiap pentadbiran sejak 2018, apabila pelantikan Jemaah Menteri sering kali dibuat bukan mengikut saluran pimpinan utama parti,” katanya.

Beliau turut menegaskan komitmen Perdana Menteri bahawa Kerajaan Perpaduan tidak akan sekali-kali mencampuri urusan kehakiman dalam mana-mana kes. – Bernama