Pemimpin tidak tegas, Dong Zong ambil kesempatan

in Nasional by

Ibrahim Shah ketika program Di Sebalik Isu Bersama FY bertajuk ‘Isu UEC, sampai bila?’ yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Jumaat.

SHAH ALAM – Profesor Emeritus Sains Politik, Tan Sri Ibrahim Shah Abu Shah menyifatkan sikap pemimpin khususnya Melayu yang terlalu berlembut, bertolak-ansur dan tidak tegas menjadi punca isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC) masih belum selesai.

Beliau berkata, kerana sikap itu juga Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) makin berani bersuara membangkitkan isu berkenaan.

“Jadi, memang kita boleh menyalahkan pemimpin dahulu dan sekarang. Saya pernah mengeluarkan kenyataan pada usia 20 tahun ketika menjadi pemimpin pelajar di ITM dulu semasa pelantikan Menteri Pelajaran baharu pada waktu itu menyatakan pandangan saya supaya meninterpretasi dasar pendidikan nasional tanpa penyelewengan.

“Ini kerana sebelum itu saya melihat (laporan) Rahman Talib dalam laporan Razak dipermainkan dan pemimpin kita terlampau berkompromi, orang desak terus mengalah dan mengapa perlu begitu? Masalah politik di Malaysia melibatkan ugutan.

“Justeru, tiap-tiap pemimpin dari dahulu khusus Melayu, paling baik, berlembut hati dan bertolak-ansur akhirnya ditolak. Pada pandangan saya pemimpin dari dulu hingga sekarang mereka tidak menyakinkan bahawa Cina patut sedar diri supaya bertaubat dan balik ke pangkal jalan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Di Sebalik Isu Bersama FY bertajuk ‘Isu UEC, sampai bila?’ yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Jumaat, Moderator, Finaz Yunus.

Sehubungan itu, beliau meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempunyai aura dan pengaruh dalam kalangan orang Cina dapat memujuk mereka bagi menjadikan negara makmur dan bersatu padu.

“Saya mengharapkan sangat Perdana Menteri berbincang dengan pihak (Dong Zong) yang ‘keras kepala’ dan buka minda mereka,” ujarnya.

Pada 29 November lalu, Dong Zong memohon pengiktirafan UEC dibincang secara rasional berikutan ia membabitkan isu akademik.

Dong Zong dalam kenyataannya menyebut, mereka memahami kebimbangan masyarakat Melayu dan atas dasar itu, pihaknya sudi berdialog serta berbincang dengan pelbagai lapisan masyarakat untuk meningkatkan pemahaman mengenai UEC, selain meningkatkan muafakat supaya isu pendidikan dapat didalami secara rasional dan pragmatik.