PRU15: Pengundi awal Padang Serai laksana tanggungjawab

in Politik by

Wan Hassan (dua dari kiri) dan Abdul Bari (kanan) memantau proses undian awal Parlimen Padang Serai pada Sabtu.Noor Pazilah bersemangat datang awal untuk menjadi pengundi pertama sempena hari pengundian awal Parlimen Padang Serai di IPD Kulim pada Sabtu.

KULIM – Seorang anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim menjadi pengundi pertama melaksanakan tanggungjawab sempena hari undian awal Parlimen Padang Serai pada Sabtu.

Sarjan Noor Pazilah Abdul Rahman yang merupakan Penolong Pegawai Penyiasat tiba di Dewan Serbaguna IPD Kulim dengan lengkap beruniform biarpun hari pengundian jatuh pada hari cutinya.

“Saya memang siap sedia untuk datang awal dan menjadi orang pertama sebab mudah untuk buat urusan lain lepas ini, kebetulan hari ni cuti tetapi saya tetap bersemangat, sebelum ini pun saya pernah menjadi orang pertama mengundi,” katanya.

**media[2008732]**

Sementara itu, proses undian awal turut dipantau Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Profesor Dr Azmi Sharom dan Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Padang Serai, Datuk Abdul Bari Abdullah menjelaskan pusat pengundian dibuka jam 8 pagi dan berakhir jam 2 petang.

Seramai 76 pengundi awal melibatkan anggota polis akan mengundi awal melibatkan dua saluran dibuka.

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai ditunda berikutan kematian calon M Karupaiya yang meninggal dunia pada 16 November iaitu tiga hari sebelum proses pengundian, 19 November lalu.

SPR menetapkan 7 Disember 2022 sebagai hari pengundian dan 3 Disember sebagai hari undian awal.

PRU15 bagi Parlimen Padang Serai ditandingi enam penjuru antaranya Dr Mohamad Sofee Razak (PH), Datuk C Sivaraj (BN), Datuk Azman Nasrudin (PN), Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Mohd Bakri Hashim (Warisan) dan Sreanandha Rao (Bebas).

Bagaimanapun, Parti Warisan mengumumkan tidak mengambil bahagian tetapi logo parti itu masih tersenarai dalam kertas undi kerana sudah didaftarkan sebagai sebuah parti yang akan bertanding.

Selain itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengumumkan Calon BN, Datuk C Sivaraj akan memberi laluan kepada calon PH, Dr Mohamad Sofee

Langkah itu difahamkan demi mengukuhkan lagi Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional yang ditubuhkan antara PH dan BN.