Selangor sedia perkasa pengangkutan awam di Lembah Klang

in Edisi Selangor KL by

Gambar lama Sze Han (kanan) bersama Anthony ketika menjadi Menteri Pengangkutan.

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor bersedia memainkan peranan yang lebih penting dalam mencorak perancangan dan melaksanakan agenda pemerkasaan pengangkutan awam di Lembah Klang secara holistik.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Negeri Selangor, Ng Sze Han berkata, sudah tiba masa Selangor, Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan disatukan dalam pembangunan pengangkutan awam di Lembah Klang.

Menurutnya pelantikan semula Anthony Loke ke Kementerian Pengangkutan diharap dapat menyambung semula perancangan yang tergendala selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Mac 2020.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada saudara Anthony di atas pelantikan semula ke jawatan Menteri Pengangkutan.

“Moga misi kita untuk mempertingkatkan kadar penggunaan pengangkutan awam di negara ini tercapai, ” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Beliau turut berharap mesyuarat Majlis Pengangkutan Negara yang pernah dilaksanakan oleh Anthony sewaktu menyandang jawatan itu pada 2018 dapat diteruskan semula.

“Apabila beliau menerajui Kementerian Pengangkutan dahulu, saya mewakili kerajaan Selangor bersama kerajaan negeri lain akan dijemput ke mesyuarat tersebut yang dipengerusikan beliau.

“Diharapkan majlis tersebut dapat kembali berfungsi selepas ini, ” katanya.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan senarai pembentukan barisan kabinet Kerajaan Perpaduan pada sidang akhbar yang diadakan di Bangunan Perdana Putra.

Anwar mengumumkan dua Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan 28 menteri dilantik dalam Kerajaan Perpaduan termasuk dirinya yang memegang portfolio Menteri Kewangan.

Selain itu, dua TPM, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menyandang jawatan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah manakala Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi.