Tak sampai 24 jam diumum menteri, Dr Zalifa 'dihujani' cadangan

in Nasional by

Dr Zaliha Mustafa

JOHOR BAHRU – Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa mendedahkan sudah menerima pelbagai cadangan pembaikan sektor kesihatan tidak sampai 24 jam selepas beliau diumumkan memegang jawatan itu pada malam Jumaat.

Ahli Parlimen Sekijang itu menyifatkan perkembangan tersebut sebagai petanda baik bahawa rakyat memberi perhatian besar kepada perkhidmatan kesihatan yang menjadi keperluan asas kepada semua golongan.

Menurutnya, antara isu yang perlu diberi perhatian semula seperti penempatan doktor-doktor siswazah, hala tuju pakar-pakar yang seimbang, isu perkhidmatan kesihatan yang lebih baik dan memenuhi keperluan rakyat.

“Ini termasuk isu golongan marginal, isu infrastruktur dan pelbagai keperluan kesihatan dan hospital, isu kesihatan mental, isu perbekalan ubat-ubatan dan lain-lain harus diberi perhatian kembali.

“Sudah pasti keutamaan terdekat adalah meneliti persiapan Belanjawan 2023 yang akan dibentang dalam sidang Parlimen bermula pada 19 Disember 2022 nanti.

“Mudah-mudahan sektor kesihatan akan diberikan peruntukan yang menyeluruh dan memenuhi keperluan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Seramai 28 menteri kabinet mengangkat sumpah jawatan dan sumpah setia simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara dekat sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut Dr Zaliha berkata, Kementerian Kesihatan amat penting kerana menjadi fokus utama rakyat khususnya pada era pasca-pandemik Covid-19.

Katanya, pengalaman, kepakaran dan kecekalan penjawat awam dan pakar-pakar pengamal perubatan sudah pasti amat diharapkan agar sektor kesihatan di negara ini mampu menyaingi perkhidmatan di negara maju yang lain.

Beliau menyifatkan lantikannya sebagai satu amanah yang besar selain menganggapnya amat dekat dengan dirinya.

“Memegang portfolio kesihatan adalah sesuatu yang dekat di hati saya. Alhamdulillah, Perdana Menteri ke-10 telah mendengar luahan akar umbi dan rakyat agar potfolio ini disandang oleh seorang pengamal perubatan dan perkara ini telah pun ditunaikan,” katanya.