Tengku Zafrul galas tugas sebagai Senator bagi penggal kedua

in Nasional by

Tengku Zafrul mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Dewan Negara bagi tempoh sepenggal berkuat kuasa pada Sabtu. – Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, beliau akan menjalankan tugas sebagai seorang Senator dengan penuh amanah dan integriti.

Menurut Tengku Zafrul, beliau akan turut memastikan suara rakyat terus diangkat di Dewan Negara demi menjamin kesejahteraan dan kemakmuran semua kaum, agama dan bangsa.

“Hari ini, saya telah diberikan amanah untuk menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Negara bagi penggal kedua.

“Ini adalah sebuah tanggungjawab yang besar, terutamanya ketika Malaysia perlu meneruskan momentum pemulihan kita pasca-Covid-19,” katanya dalam catatan di laman Facebook beliau pada Sabtu.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas tanggungjawab berat yang diberikan.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pucuk pimpinan parti,” katanya.

Bekas Menteri Kewangan itu telah dilantik sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri ketiga yang menamakan beliau dalam barisan kabinet selepas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tengku Zafrul menggantikan bekas Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-15. – Bernama