17 projek perumahan sakit, tujuh terbengkalai di Johor

in Edisi by

Mohd Jafni

ISKANDAR PUTERI – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenal pasti 17 projek perumahan sakit dan tujuh projek terbengkalai di Johor.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, kerajaan negeri akan bertindak sebagai pemudah cara membantu pembeli termasuk membabitkan projek perumahan di bawah kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, kerajaan negeri akan memantau serta memberikan kelulusan sehingga ke peringkat Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) dan penyerahan kunci.

“Ini melibatkan projek sakit Taman Setia Indah (639 unit) dan Projek Taman Kota Jaya (87 unit) yang dapat diselesaikan sehingga penyerahan kunci.

“Projek sakit yang bakal diselesaikan pada awal tahun depan ialah Taman Residensi Kota Tinggi melibatkan 625 unit kediaman yang dimajukan oleh pihak PR1MA (Program Perumahan Rakyat 1Malaysia),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti, Hahasrin Hashim mengenai langkah menangani isu projek perumahan sakit pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Johor yang ke-15 di Kota Iskandar pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mohd Jafni yang juga ADUN Bukit Permai berkata, kerajaan negeri akan memastikan agensi-agensi terlibat dapat membantu dalam menyelesaikan isu projek-projek sakit.

“Kerajaan negeri sentiasa bekerjasama membantu memulihkan projek perumahan sakit serta bertindak sebagai pemudah cara membantu pelikuidasi dan kontraktor penyelamat untuk berhubung dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi teknikal serta pihak yang berkepentingan.

“Pihak KPKT juga turut mengambil tindakan menyenarai hitam pemaju-pemaju yang menyebabkan projek perumahan terbengkalai, yang terlibat dengan projek sakit, yang gagal membayar kompaun, pemaju-pemaju ingkar dan pemaju-pemaju perumahan tanpa lesen,” katanya.