ABIM perinci lima perkara utama isu pendidikan

in Nasional by

ABIM memperincikan lima perkara utama isu pendidikan di dalam negara yang perlu dititikberatkan.- Foto 123RF

SHAH ALAM – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memperincikan lima perkara utama isu pendidikan di dalam negara yang perlu dititikberatkan.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, perkara pertama adalah melibatkan masalah keciciran pembelajaran yang harus diangkat sebagai isu utama.

Menurutnya, ia memerlukan pengukuhan membaca, menulis dan mengira (3M) pada peringkat tahap satu.

“Kedua, Dasar Pendidikan Digital perlu disegerakan bagi mempercepat adaptasi pendigitalan dalam ekosistem pendidikan.

“Ketiga, sekolah daif yang merupakan isu berpanjangan dan perlu penyelesaian kreatif serta drastik bagi kesaksamaan pendidikan.

“Keempat, hala tuju pendidikan perlu dijajarkan semula bagi memaknakan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam Dasar Pendidikan Negara yang dilihat semakin dilupakan akibat pembelajaran berorientasikan peperiksaan masih menebal dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Selain itu, Muhammad Faisal berkata, pendidikan negara juga harus menjurus ke arah pembinaan watak dan kemahiran berasaskan hikmah dan penerapan nilai-nilai selari dengan pendidikan Islam yang bersifat universal.

Jelas beliau, untuk merungkai persoalan mengenai dinamika pendidikan Islam di negara ini, ABIM ingin merujuk pandangan Tokoh Maal Hijrah 1440H peringkat kebangsaan, Allahyarham Profesor Datuk Dr Siddiq Fadzil.

“Beliau mencadangkan Pendidikan Islam di Malaysia dikaji semula agar dilihat sesuai dengan pengamalan Islam dalam kerangka masyarakat Malaysia yang bersifat realiti kemajmukan dengan kepelbagaian kaum dan agama.

“Sama seperti penyepaduan Fiqh Muwatanah, Fiqh Taayush, menambah interaksi dengan masyarakat pelbagai kaum dan agama,” ujarnya.

Muhammad Faisal dalam masa sama turut merakamkan ucapan tahniah buat Fadhlina Sidek atas taklifan sebagai Menteri Pendidikan kepada kerajaan Perpaduan.

“ABIM menyakini kewibawaan dan pengalaman yang dimiliki menjadi tonggak untuk beliau memimpin Kementerian Pendidikan ke arah kecemerlangan,” katanya.