Ahmad Zahid ziarah kubur ibu bapa

in Nasional by

Ahmad Zahid (duduk, tengah) menziarahi kubur ibu bapanya di Tanah Perkuburan Islam Tebuk Chek Maja, Sungai Nipah Darat, Bagan Datuk pada Ahad.

BAGAN DATUK – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Ahad menziarahi kubur ibu bapanya di Tanah Perkuburan Islam Tebuk Chek Maja, Sungai Nipah Darat di sini.

Timbalan Perdana Menteri itu tiba di tanah perkuburan sekitar jam 1.30 petang dan terus ke kubur kedua ibu bapanya, Allahyarham Raden Hamidi Abdul Fatah dan Allahyarhamah Tuminah Abdul Jalil.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu meluangkan masa kira-kira 15 minit membacakan doa untuk kedua ibu bapanya.

Turut bersama ialah adiknya, Datuk Hakim Hamidi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO sebelum itu mengadakan perjumpaan tertutup dengan kepimpinan UMNO Bahagian Dagan Datuk di Kompleks UMNO Bahagian Bagan Datuk di sini.

Pada Sabtu, Ahmad Zahid antara 27 jemaah kabinet yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Selain Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid juga memegang portfolio Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.