Air bersih: Semua daerah di Kelantan dapat lori tangki

in Edisi by

Azami (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Ahmad Shairazi selepas meninjau keadaan rumah yang terbakar di Kampung Terusan Limbat pada Ahad.

KOTA BHARU – Semua 14 daerah di negeri ini akan menerima lori tangki air apabila kerajaan negeri menambah lima lagi kemudahan itu.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti, Datuk Azami Mohd Nor berkata, setakat ini sudah sembilan lori disediakan oleh Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) untuk penduduk mendapat bekalan air bersih.

Menurut beliau, anggaran pembelian kesemua lori ialah RM1.5 juta daripada keseluruhan RM58 juta peruntukan yang disediakan.

“Peruntukan itu juga digunakan untuk penukaran paip dan penyediaan kemudahan lain yang melibatkan bekalan air bersih,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Pondok Pasir Tumbuh, Kampung Terusan Limbat di sini pada Ahad.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Tumbuh, Abd Rahman Yunus yang turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada mangsa berkenaan.

Selain itu kata Azami, kerajaan negeri melalui AKSB membelanjakan lebih RM11 juta bermula Julai 2020 hingga September lepas untuk membayar sewa 30 buah lori tangki air.

Azami memberitahu, semua usaha AKSB itu untuk memberi kemudahan air bersih kepada rakyat.

“Jadi tidak benar jika ada desas-desus kerajaan tidak mengambil perhatian mengenai masalah air bersih di negeri ini kerana perbelanjaan besar disediakan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, sebanyak 435 buah tangki statik ditempatkan di rumah penduduk dan tambahan akan dilakukan bergantung kepada keperluan semasa.

Sementara itu Azami memberitahu, AKSB menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada pihak pengurusan pondok berkenaan yang diwakili Setiausahanya, Ahmad Shairazi Atiqullah.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang pada 29 November lalu, sebanyak 10 rumah yang dihuni pelajar Pondok Pasir Tumboh hangus melibatkan 12 mangsa.