Anwar disaran lantik Menteri Kewangan baharu: IDEAS

in Nasional by

Tricia Yeoh

SHAH ALAM – Pelantikan Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan dilihat kurang wajar malah tidak selaras dengan prinsip tadbir urus baik seperti yang dilaungkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Dr Tricia Yeoh berkata, Anwar sebelum ini dengan tegas mengisytiharkan perkara tersebut tidak seharusnya berlaku dan ia sebagai agenda teras Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, komitmen untuk mengasingkan portfolio tersebut juga telah dibuat dengan jelas menerusi manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Tegasnya, IDEAS sangat berharap agar pengasingan peranan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan menerusi individu yang sama kerana tiada pengawasan terhadap portfolio paling penting dalam kabinet kerajaan baharu ini.

“Perkara ini seharusnya menjadi pengajaran apabila skandal rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mana sebahagiannya dipermudahkan dengan membenarkan seorang individu memegang dua jawatan penting kabinet secara serentak.

“Tiga pentadbiran sebelum ini telah cuba mengubah tradisi ini dengan melaksanakan pengasingan kuasa antara jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

“Walaupun secara politiknya sukar untuk menamakan Menteri Kewangan dalam Kerajaan Perpaduan, namun ia perlu diasingkan terutamanya untuk proses semak dan imbang,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu katanya, IDEAS mencadangkan Perdana Menteri untuk berusaha dan komited mencari seorang Menteri Kewangan yang bersesuaian iaitu seseorang yang boleh melaksanakan urusan kerajaan secara telus dan bertanggungjawab.

Tambahnya lagi, Menteri Kewangan juga perlu mengawasi pembaharuan fiskal seperti melaksanakan Akta Tanggungjawab Fiskal yang tergendala sejak sekian lama.

Namun satu yang baik katanya, Perdana Menteri telah menunaikan sebahagian daripada janjinya semasa sidang media yang diadakan pada 24 November lalu untuk mewujudkan kabinet yang lebih kecil.

Sementara itu Tricia berkata, IDEAS juga mahu melihat perwakilan wanita, belia dan wilayah yang lebih baik dalam barisan kabinet semasa.

Menurutnya, perkara itu seharusnya diterjemahkan menerusi lima jawatan menteri dengan lima ahli politik wanita, empat ahli politik belia dan enam wakil Borneo termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.

“Bagaimanapun kami amat berharap agar Perdana Menteri tidak mengikuti langkah pentadbiran sebelum ini yang melantik Timbalan Menteri dan Duta Khas bertaraf menteri untuk memuaskan hati pelbagai pihak dan menjadikan saiz kabinet terlalu besar.

“IDEAS secara tegas ingin mengingatkan kepada semua menteri yang baru dilantik untuk melaksanakan tugas dengan sebaiknya, selaras dengan jangkaan tinggi rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan untuk melaksanakan pembaharuan dasar,” katanya.

Sementara itu katanya, IDEAS tidak dapat mentafsir sepenuhnya kewajaran Anwar melantik Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) ekoran pertuduhan yang dihadapi Ahli Parlimen Bagan Datuk itu yang masih berjalan di peringkat mahkamah.

Menurutnya, selain disifatkan sebagai satu yang membingungkan, IDEAS turut berasa gusar terhadap pelantikan Ahmad Zahid yang mungkin memberi kesan kepada senario politik negara.

“Meskipun ia dibuat bagi mencapai kestabilan, namun pelantikan Ahmad Zahid sebagai TPM yang memegang portfolio strategik memberi isyarat salah daripada kerajaan yang berikrar untuk mematuhi prinsip tadbir urus yang baik.

“Walaupun tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah dan sudah melalui semua proses rayuan bagi mengekalkan kerusi Parlimen, ahli-ahli kabinet yang dilantik perlu mempunyai standard yang lebih tinggi.

“Hal ini penting untuk memastikan keyakinan dan kepercayaan orang ramai terhadap kerajaan hari ini,” katanya.