Bintang muda cerahkan masa depan AS

in Sukan by

Wajah suram pemain AS setelah tewas 1-3 kepada Belanda pada aksi kalah mati Piala Dunia Qatar 2022 lewat malam Sabtu. – Foto EPA

BIARPUN tersingkir daripada saingan 16 terbaik, skuad muda Amerika Syarikat (AS) mempunyai masa depan yang cerah dalam perjalanan ke edisi Piala Dunia 2026.

Dikecewakan Belanda 1-3 pada aksi kalah mati di Stadium Antarabangsa Khalifa lewat malam Sabtu menjadi pengalaman berharga buat skuad bimbingan Gregg Berhalter itu.

Setelah gagal melayakkan diri ke Piala Dunia empat tahun lalu, Berhalter memilih pemain muda dengan purata umur 25 tahun.

AS menjadi pasukan kedua termuda daripada 32 negara yang berhimpun di Qatar selepas Ghana.

Pemain pertahanan DeAndre Yedlin, yang bermain di Brazil pada 2014, satu-satunya pemain berpengalaman dari Piala Dunia 2018 masih kekal dalam pasukan itu.

Kecetekan pengalaman pemain negara Uncle Sam itu hanya sementara apabila mereka diimbangi oleh keghairahan dan kerja keras di atas padang.

“Kami hadir dengan matlamat untuk menunjukkan kepada dunia bagaimana cara bermain bola sepak. Saya fikir kami mencapai sebahagiannya walaupun gagal mencapai matlamat.

“Meletakkan barisan termuda dalam Piala Dunia dengan empat perlawanan berturut-turut dan masih boleh bermain dengan cara kami, rakyat Amerika harus optimis,” ujar Berhalter.

Beliau berkata, AS juga berjaya menampilkan nama besar yang boleh menjadi kebanggaan peminat untuk lebih menyerlah empat tahun lagi.

“Bintang Chelsea berusia 24 tahun, Christian Pulisic, yang membuktikan kehebatannya di Qatar,” ujar Berhalter.

Kemenangan ke atas Iran dan seri menentang England dan Wales membawa AS ke pusingan 16 terakhir, namun harapan lebih besar diletakkan peminat mereka.

Kejayaan mara ke pusingan kalah mati mencetuskan bualan mengenai kemunculan ‘generasi emas’ AS.

Bagaimanapun Berhalter enggan meletakkan harapan tersebut terhadap pasukannya sambil menyatakan mereka masih belum berada di tahap itu.