Chavez rembat paling laju

in Sukan by

Bola ledakan Chavez mencecah kelajuan 121.69 km/j ketika aksi Mexico menentang Arab Saudi pada Piala Dunia Qatar 2022. – Foto EPA

SEPAKAN percuma menarik Luis Chavez ketika membantu Mexico menewaskan Arab Saudi dalam saingan terakhir Kumpulan C adalah yang paling laju dengan catatan mencecah 121.69 kilometer/jam (km/j) pada Piala Dunia Qatar 2022.

Pengesanan tahap kelajuan bola itu berdasarkan teknologi bola Al Rihla yang digunakan pada kejohanan di negara Teluk itu.

Rembatan padu Chavez minit ke-52 membolehkan Mexico mendahului 2-0 sebelum Arab Saudi menjadikan kedudukan 2-1.

Walaupun gagal menyelamatkan Mexico daripada tersingkir di peringkat kumpulan, sepakan percuma Chavez diiktiraf percubaan paling laju ke arah gawang setakat ini.

Bola Al Rihla mempunyai teknologi canggih yang dapat membantu keputusan video bantuan pengadil (VAR) di Piala Dunia.

Teknologi itu turut membuktikan Cristiano Ronaldo tidak menyentuh bola ketika jaringan pertama Portugal menentang Uruguay.

Ia juga dapat mengesan kelajuan bola dan terbaharu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mendedahkan senarai percubaan paling laju yang menerjah gawang pada saingan kumpulan.

Rembatan Chavez menghuni tangga teratas apabila mencatat kelajuan 121.69 km/j, manakala tendangan menarik pemain Jepun, Ristu Doan ketika menentang Sepanyol mencecah 120.04 km/j.

Rembatan Niclas Fullkrug untuk gol penyamaan ketika bertemu Sepanyol menduduki tangga ketiga, manakala penalti Ronaldo ketika lawan Ghana keempat.

Tendangan pemain England, Marcus Rashford semasa membuat jaringan menarik ketika menentang Wales menduduki tangga kelima, sementara Lionel Messi tersenarai di tangga kesembilan menerusi jaringan ketika Argentina menentang Mexico.