DUN Tioman: Rakyat syor diberi cuti khas hari mengundi

in Edisi by

Hari pengundian PRU15 bagi DUN Tioman diadakan pada 7 Disember ini, jatuh pada hari bekerja. Foto hiasan.

ROMPIN – Rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman mengesyorkan agar kerajaan Pahang memberi cuti khas kepada semua penjawat awam dan swasta susulan hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 7 Disember ini, jatuh pada hari bekerja.

Rata-rata rakyat meminta kerajaan Pahang mempertimbangkan cadangan terbabit bagi memudahkan mereka menjalankan kewajipan yang tertangguh tempoh hari.

Bagi, penghantaran makanan, Muhammad Izzat Idris, 25, berkata, kerajaan Pahang sepatutnya memberi kelonggaran itu bagi memudahkan pemilih melaksanakan tanggungjawab mereka.

Menurutnya, pemilih memerlukan masa untuk menyelesaikan proses pengundian dan jika cuti khas tidak diberikan ia menyebabkan lebih ramai yang tidak dapat keluar mengundi.

“Jadi, saya rasa wajar diberikan cuti khas, tapi bagi kami penghantaran makanan ini waktu kami bebas dan boleh melaksanakan tanggungjawab mengundi dengan sebaiknya,” katanya ketika ditemui di bandar Rompin pada Ahad.

Senada dengan itu, Norashikin Mohd Fauzi, 31, memberitahu,sekiranya tiada cuti khas diberikan, majikan perlu memberi kelonggaran kepada pekerja menunaikan tanggungjawab tersebut.

Namun bagaimanapun katanya, ia bergantung kesediaan seorang itu sama ada mahu keluar mengundi atau sebaliknya.

“Tapi kalau berikan cuti khas ia pasti memberikan galakan dan tiada alasan untuk kita tidak menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih,” ujarnya yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta di sini.

Pesara kerajaan, Ishak Mohammad, 60, juga bersetuju sekiranya kerajaan Pahang mempertimbangkan cuti khas bagi membolehkan pembuangan undi dapat dilaksanakan oleh pemilih di DUN Tioman.

Menurutnya, anaknya yang bekerja di Kuala Lumpur tidak dapat pulang kerana tidak dapat cuti dan boleh menjadi punca kepada peratusan keluar mengundi berkurangan.

“Dua anak saya tinggal di Kuala Lumpur, tapi tidak boleh balik sebab mengalami masalah cuti dan hari pengundian pula jatuh hari bekerja iaitu Rabu.

“Benda ini (proses pengundian) patut dibuat pada hari Sabtu atau Ahad ini akan memudahkan pemilih luar untuk pulang,” ujarnya yang mahu kerajaan pertimbangkan cuti khas pada hari pengundian.

Pendapat sama dilontarkan penjawat awam, Kamaruddin Ali, 55 yang merasakan satu keperluan cuti khas atau pelepasan diberikan oleh majikan bagi menunaikan tanggungjawab kepada negara.

“Kawasan mengundi perlu diberikan cuti khas sebab hendak keluar mengundi utu kena beratur dan ambil masa.

“Jadi, lebih sesuai pertimbangan cuti dan ini akan memberi kelebihan kepada pengundi,” jelasnya ringkas.

Pesara Tentera Eddy Mat, 50, menjelaskan peratusan mengundi dijangka akan berkurangan kerana ramai dalam kalangan pemilih masih pekerja pada hari pengundian.

“Saya syorkan berilah cuti bagi membolehkan mereka membuang undi.Kalau ikutkan masa mengundi bukan tempoh yang singkat sebaliknya perlu beratur panjang,” kata lagi.

DUN Tioman ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengundi bagi kerusi DUN pada 7 Disember ini ekoran kematian calon Perikatan Nasional, Allahyarham Md Yunus Ramli pada pagi 19 November lalu.

Mengikut Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR), terdapat seramai 28,465 orang pemilih yang terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 polis dan tiga orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.