Hussamuddin antara penerima darjah kebesaran Perak

in Nasional by

Hussammuddin

IPOH – Penasihat Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub menjadi antara 212 penerima Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah tahun ini.

Hussamuddin yang juga Ketua Pasukan Rasuah Busters menerima Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk.

Mendahului senarai penerima, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali yang dianugerahkan Darjah Dato’ Seri Paduka Cura Si Manja Kini (SPCM) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pula menerima Darjah Dato’ Seri Panglima Taming Sari (SPTS) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima.

Selain itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak dianugerahkan Darjah Dato’ Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin berkata, Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak akan diadakan pada satu tarikh yang akan diperkenankan oleh Sultan Nazrin.

“Sambutan pada tahun ini akan dimulakan dengan penganjuran Majlis Kesyukuran bacaan surah Yasin, tahlil dan doa selamat yang akan diadakan bertempat di Masjid Ubudiah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar pada waktu Solat Jumaat, 4 November 2022.

“Majlis yang sama akan turut diadakan di semua Masjid-masjid Daerah di seluruh negeri Perak, dengan diketuai oleh Orang Besar Jajahan dan Pegawai Daerah mengikut daerah masing-masing,” katanya ketika sidang akhbar di Laman Seri Ridzuan, pada Khamis.

Beliau berkata, pada tahun ini seramai 212 penerima pingat terpilih termasuk masing-masing satu bagi darjah SPCM, SPTS dan DPCM.

Menurutnya, bagi Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk dikurniakan kepada 15 orang penerima, Darjah Dato’ Pahlawan Taming Sari (5 orang), Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (7), Darjah Paduka Mahkota Perak (23) Ahli Cura Si Manja Kini (16) Darjah Ahli Mahkota Perak (45), Pingat Pekerti Terpilih (47), Pingat Jasa Kebaktian (41) dan Pingat Lama Perkhidmatan (10).