Jambatan Sungai Pulai hubung Pontian-JB siap akhir tahun

in Edisi Johor by

Ting Han

ISKANDAR PUTERI – Jambatan Sungai Pulai yang menghubungkan Johor Bahru-Pontian dijangka siap menjelang hujung tahun ini.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han berkata, pembinaan jambatan baharu menelan kos RM700 juta itu akan merancakkan ekonomi Johor.

Menurutnya, jambatan sepanjang 7.5 kilometer itu akan memendekkan tempoh masa perjalanan dari Johor Bahru ke Pontian dari satu jam kepada 15 minit sahaja.

“Ini secara langsung akan menggalakkan lagi aktiviti ekonomi dan seterusnya dapat meningkatkan lagi pendapatan serta taraf hidup warga setempat berikutan waktu perjalanan kini menjadi lebih pendek.

“Jambatan Sungai Pulai itu yang akan menghubungkan Gelang Patah dengan Tanjung Bin di Kukup, Pontian itu juga adalah antara satu daripada usaha dan komitmen kerajaan negeri dalam memangkin pembangunan sosioekonomi di Pontian supaya lebih membangun setara dengan kawasan bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup mengenai perancangan kerajaan negeri menarik pelaburan dan jambatan Sungai Pulai ketika Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Johor yang ke-15 pada Ahad.

Ting Han yang merupakan ADUN Paloh berkata, menerusi Pelan Mampan Johor 2030, daerah Pontian di mana terletaknya DUN Kukup yang telah digazetkan sebagai zon bagi ekopelancongan.

Selain itu, katanya, ia turut disenaraikan sebagai kawasan bagi aktiviti perikanan dan maritim, pembuatan ringan, pemprosesan makanan dan bahan pembinaan.

“Oleh itu, pelbagai usaha telah dan akan dilaksanakan mengikut pelan perancangan kerajaan negeri bagi meningkatkan pelaburan baru di semua wilayah di negeri Johor dan ianya termasuklah di DUN Kukup.

“Kerajaan negeri menerusi Invest Johor sentiasa menggembleng usaha bagi menarik pelaburan baru sama ada dari dalam mahupun luar negara untuk dimanfaatkan oleh seluruh warga dan wilayah di negeri ini termasuk DUN Kukup di Pontian,” katanya.