Johor mohon tambah laluan enam lorong Yong Peng-Skudai

in Edisi Johor by

MOHAMAD FAZLI

ISKANDAR PUTERI – Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) antara Yong Peng ke Skudai perlu dinaiktaraf daripada empat kepada enam lorong berikutan kesesakan yang sering dialami di laluan tersebut.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, pertambahan jumlah kenderaan menyebabkan kesesakan sering berlaku di laluan sepanjang 70 kilometer (km) itu.

“Ketika pembentangan Belanjawan 2023 Oktober lalu, peruntukan yang diumumkan hanya membabitkan pelebaran Lebuhraya PLUS kawasan Senai Utara-Pandan sahaja.

“Bagi jangka masa panjang, lebih baik cadangan untuk menambah enam lorong di Lebuhraya Plus membabitkan Yong Peng-Skudai dilaksanakan.

“Kertas kerja cadangan awal kerajaan Johor yang disampaikan kepada kerajaan Persekutuan adalah pelebaran Lebuhraya PLUS membabitkan laluan Yong Peng-Senai untuk fasa pertama, laluan Senai-Skudai (fasa kedua) dan Yong Peng-Ayer Keroh (fasa tiga),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sesi perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Ahad.

Dalam pada itu, Mohamad Fazli berkata, perbincangan telah diadakan bersama Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Hasni Mohammad berhubung penambahan daripada empat kepada enam lorong bermula dari Yong Peng sehingga ke Skudai.