Kelebihan dan kekurangan kabinet Anwar Ibrahim

in Khas by

Anwar menunjukkan senarai pembentukan barisan kabinet pada sidang media Pengumuman Kabinet Kerajaan Perpaduan di Bangunan Perdana Putra pada Jumaat. – Foto Bernama

Sejurus selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10, perhatian rakyat kemudian tertumpu kepada siapakah barisan kabinet yang akan membantu beliau mengemudi kerajaan.

Setelah barisan kabinet diumumkan pada malam 2 Disember 2022, kita dapat saksikan reaksi rakyat yang pelbagai.

Ada yang menyokong, menolak, bersikap neutral dan ada juga menyokong atau menolak sebahagian sahaja.

Mengapa rakyat menonjolkan reaksi sedemikian? Kepelbagaian reaksi ini dapat dijelaskan dengan kita mengenal pasti kelebihan dan kekurangan barisan kabinet tersebut.

Kelebihan kabinet

Kabinet ini mempunyai beberapa kelebihan. Pertama, saiz kabinet yang relatif kecil. Tindakan ini selari dengan agenda pengurangan pembaziran yang ditekankan oleh Perdana Menteri.

Kabinet baharu ini terdiri daripada 28 orang menteri berbanding 32 orang ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bilangan menteri bagi kabinet lama ini akan menjadi lebih tinggi sekiranya kita mengambil kira lantikan Utusan Khas kepada Perdana Menteri ke beberapa rantau dan negara.

Kedua, kita mencatatkan sejarah apabila dua Timbalan Perdana Menteri telah dilantik iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof yang masing-masing mewakili wilayah Semenanjung dan wilayah Sabah dan Sarawak.

Buat kali yang pertama juga, kita mempunyai Timbalan Perdana Menteri dari wilayah Sabah dan Sarawak.

Perwakilan ini menunjukkan bahawa kerajaan serius dan komited untuk merapatkan ruang pembangunan wilayah Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung serta memperkasa wilayah Sabah dan Sarawak menerusi pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963.

Tambahan, pelantikan Datuk Seri Fadillah sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi adalah tepat bagi merealisasikan dua matlamat di atas dengan memperkasakan sektor perladangan dan komoditi yang merupakan antara sumber kekuatan ekonomi Sabah dan Sarawak.

Ketiga, kabinet ini terdiri daripada gabungan muka-muka baru dan lama. Antara muka-muka baru ini termasuklah Rafizi Ramli, Nga Kor Ming, Chang Lih Kang, Nik Nazmi Nik Ahmad, Ewon Benedick, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, Fadhlina Sidek, Zaliha Mustafa dan Armizan Mohd Ali.

Terdapat juga muka-muka lama yang belum sempat menganggotai kabinet sebelum ini seperti Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Tiong King Sing, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Sivakumar Varatharaju Naidu.

Selain itu, terdapat 15 menteri yang merupakan muka lama yang sebahagiannya mempunyai pengalaman yang lama dan luas sebagai menteri sementara sebahagiannya mempunyai pengalaman yang terbatas.

Senarai menteri ini menunjukkan bahawa terdapat keseimbangan antara muka baru dengan muka lama dan sinergi kedua-duanya adalah penting dari segi inovasi idea dan dasar serta pelaksanaannya.

Keseimbangan dan sinergi muka baru dengan lama ini membolehkan kabinet untuk berfungsi dengan cekap dan berkesan.

Keempat, kabinet bersifat inklusif dari segi kaum, wilayah dan gender. Kabinet ini tidak hanya terdiri daripada kaum-kaum utama di Semenanjung tetapi turut merangkumi kaum-kaum bumiputra di Sabah dan Sawarak.

Dari segi wilayah, selain daripada Timbalan Perdana Menteri, kabinet turut dianggotai oleh enam wakil dari Sabah dan Sarawak.

Dari segi gender, kabinet terdiri daripada lima wanita dan 23 lelaki. Keterangkuman kaum, wilayah dan gender ini membolehkan setiap kelompok itu diwakili dan tiada pihak yang akan dipinggirkan dalam agenda ‘pembangunan untuk semua’.

Kelima dan terakhir adalah pelantikan beberapa penasihat kerajaan tanpa upah yang akan diketuai oleh Penasihat Petronas, Tan Sri Hassan Marican.

Beliau merupakan salah seorang daripada lima ahli Majlis Penasihat Kerajaan yang ditubuhkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan pada 2018.

Beberapa penasihat ini boleh membantu kerajaan dalam pelbagai bidang khususnya soal ekonomi dan kewangan negara selain membantu kerajaan merealisasikan manifesto dalam tempoh 100 hari.

Kekurangan kabinet

Meskipun mempunyai beberapa kelebihan di atas, kabinet ini turut mempunyai beberapa kekurangan. Pertama, Perdana Menteri memegang jawatan Menteri Kewangan.

Meskipun ia merupakan satu amalan atau kelaziman dalam pentadbiran sebelumnya, amalan ini boleh membawa kepada penumpuan kuasa yang berlebihan di tangan Perdana Menteri dan boleh membawa kepincangan ke atas governans syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Hal ini kerana Menteri Kewangan berkuasa ke atas Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) yang mempunyai pemilikan dan kawalan ke atas pelbagai GLC.

Salah guna kuasa oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan bakal mengherotkan dan membinasakan GLIC dan GLC serta institusi governansnya seperti yang berlaku dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC).

Meskipun Datuk Seri Anwar mempunyai rekod prestasi yang baik sebagai Menteri Kewangan sebelumnya, isunya di sini bukanlah sosok pemimpin tetapi penumpuan kuasa yang berlebihan dan keperluan kepada pemisahan kuasa antara dua jawatan penting kerajaan.

Hal ini penting agar sesiapapun yang menjawat jawatan Menteri Kewangan, kuasa mereka dibataskan oleh prinsip pemisahan kuasa antara jawatan bukannya bergantung kepada faktor keperibadian semata-mata.

Justeru, reformasi institusi yang ditekankan oleh kerajaan baharu ini juga perlu merangkumi reformasi amalan dan kelaziman kerajaan.

Kedua, kabinet yang terdiri daripada kluster Mahkamah. Diketahui umum bahawa Datuk Seri Ahmad Zahid yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri merupakan antara pemimpin yang sedang menghadapi perbicaraan di Mahkamah dengan 47 pendakwaan jenayah pecah amanah dalam kes Yayasan Akalbudi.

Dalam kes 40 tuduhan rasuah sistem visa luar negara, meskipun beliau telah dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 22 September lalu, pasukan pendakwaan telah mengemukakan rayuan untuk kes tersebut.

Selain daripada beliau, pemimpin-pemimpin yang dikaitkan dengan kluster Mahkamah tidak dilantik menganggotai kabinet seperti Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Moktar Radin.

Pelantikan Datuk Seri Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri adalah sesuatu yang dijangkakan. Hal ini kerana sokongan UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah membolehkan kerajaan campuran pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim terbentuk.

Situasi ini membolehkan Datuk Seri Ahmad Zahid mempunyai kuasa tawar menawar yang besar dalam perundingan membentuk kabinet meskipun Perdana Menteri mempunyai kuasa pemutus.

Meskipun dipertikaikan ramai, kehadiran Datuk Seri Ahmad Zahid dalam kabinet adalah genting untuk menjamin kestabilan kerajaan.

Tanpa kerajaan yang stabil, kerajaan tidak dapat menjalankan tanggungjawabnya untuk berkhidmat kepada rakyat kerana perhatian kerajaan akan tertumpu kepada persaingan politik seperti yang dapat dilihat dalam pentadbiran sebelumnya.

Namun, sebagai timbal balas kepada situasi ini, kerajaan perlu memastikan bahawa reformasi institusi yang bakal dilaksanakan tidak dikompromi oleh mana-mana pihak, meskipun perundingan dan konsensus itu penting dalam pelaksanaan apa-apa dasar.

Dalam soal reformasi institusi, ianya genting bagi Perdana Menteri pada ketika ini untuk memisahkan kuasa Peguam Negara dengan Pendakwa Raya.

Hal ini perlu dilakukan segera bagi memastikan kerajaan tidak campur tangan atau dilihat tidak campur tangan dalam kes mahkamah membabitkan para pemimpin politik.

Ketiga dan terakhir, kebanyakan muka-muka baharu yang disebutkan di atas tiada pengalaman pentadbiran untuk menguruskan kementerian lebih-lebih lagi kementerian penting.

Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan masing-masing diterajui oleh Fadhlina Sidek dan Zaliha Mustafa di mana kedua-duanya merupakan Menteri wanita pertama bagi kedua-dua kementerian dan mereka juga ahli Dewan Rakyat penggal pertama.

Kedua-dua Menteri ini menghadapi cabaran-cabaran yang besar dalam portfolio masing-masing khususnya dalam konteks pemulihan negara daripada Pandemik Covid-19.

Satu pelajaran penting yang dapat diambil oleh kedua-dua menteri daripada pentadbiran mantan menteri yang lepas adalah kepentingan rundingan dengan pelbagai pemegang taruh sebelum sesuatu dasar atau tindakan itu dilaksanakan oleh kerajaan.

Hal ini penting agar dasar kerajaan itu dapat diterima oleh semua dan mengelakkan ketegangan hubungan antara kaum lebih-lebih lagi dalam konteks polarisasi kaum dan agama pada hari ini.

Tuntasnya, meskipun terdapat beberapa kekurangan, kabinet yang ada pada hari ini mempunyai kelebihan dan kekuatan yang diperlukan untuk membolehkan kerajaan melaksanakan reformasi ekonomi dan governans seperti yang dijanjikan dalam manifesto.

Kekuatan yang ada pada kabinet ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk menguruskan dan merealisasikan harapan rakyat yang menggunung susulan cabaran-cabaran ekonomi-politik di peringkat domestik dan antarabangsa yang tidak menentu.

Kabinet ini adalah pilihan terbaik yang kita ada. Berilah peluang kepada kabinet dan kerajaan baharu untuk menjalankan tanggungjawab dan menunjukkan kebolehan menguruskan kerajaan.

Hanya selepas mereka gagal melaksanakan tanggungjawab dan janji yang telah ditaburkan, barulah kita wajar mengkritik prestasi mereka secara objektif. Inilah demokrasi matang yang kita mahukan!

* Dr Zaharul Abdullah ialah Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial Universiti Malaysia Terangganu & Ketua Sekretariat Penerbitan Naratif Malaysia