Kenyataan tolak jawatan boleh jejaskan kabinet

in Nasional by

SHAH ALAM – Tindakan beberapa ahli Parlimen yang mengeluarkan kenyataan bahawa mereka ditawarkan jawatan kabinet namun menolaknya disifatkan tidak membantu, malah boleh menjejaskan kabinet Kerajaan Perpaduan.

Penasihat Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM), Callistus Antony D Angelus berkata, sekiranya benar berlaku, mereka tidak sepatutnya mendedahkannya secara umum.

“Kenyataan yang dibuat oleh beberapa ahli Parlimen yang menyatakan bahawa mereka telah ditawarkan jawatan dalam kerajaan dan menolaknya merupakan suatu perkara yang tidak membantu dan boleh menjejaskan kabinet.

“Adakah ini bermakna bahawa kabinet adalah satu rentetan kedua? Walaupun mereka telah menolak tawaran yang dibuat dan jika ia benar-benar berlaku, mereka tidak sepatutnya mendedahkannya kepada umum,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut katanya, kecenderungan untuk terlibat dalam parokialisme harus ditentang apatah lagi apabila wujudnya kumpulan, negeri, parti dan kaum tertentu tidak berpuas hati dengan pelantikan kabinet kali ini.

“Jika perwakilan menjadi objektif maka kita akan berkompromi dengan merit. Tidak dinafikan, terdapat keperluan untuk pertimbangan realiti politik, ekonomi dan sosial walaupun keperluan untuk pelantikan berasaskan merit perlu diutamakan dalam mana-mana persamaan,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar menumpukan perhatian untuk melantik teknokrat yang pakar dalam satu-satu bidang sebagai timbalan menteri dalam portfolio utama kerajaan.

“Negara tidak mampu menanggung kebuntuan politik yang berterusan,” ujarnya.