Minat tambah ilmu saya sambung pelajaran – Adnan

in Edisi by

Adnan Yaakob. FOTO SINAR HARIAN/ RAFEQ REDZUANAdnan (kanan) menerima skrol Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang daripada Rektor UIAM, Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak pada Ahad. FOTO SINAR HARIAN/ RAFEQ REDZUAN

GOMBAK – Faktor minat bagi menambah ilmu pengetahuan menyebabkan bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob menyambung pelajarannya dalam Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai itu terdahulu menerima skrol Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang daripada Rektor UIAM, Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak pada Ahad.

Adnan, 72, menjelaskan walaupun telah memiliki Diploma Pendidikan dan Ijazah Sarjana Muda Sastera daripada Universiti Malaya (UM) tetapi atas faktor minat terhadap ilmu, beliau tetap menyambung pengajian.

“(Saya juga sebelum ini ada) buat undang-undang di UIAM pada tahun 1984 dan termasuk dalam kumpulan kedua tetapi tidak tamat sebab saya dipanggil bertanding pilihan raya pada tahun 1986.

“Tetapi pada tahun 2016, saya telah menyambung semula belajar dan alhamdulillah walaupun mengambil masa enam tahun (dan) tiga tahun cuti belajar, saya dapat menamatkan (pelajaran).

“Saya (juga) bersyukur kerana keputusan agak baik dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.62. Saya termasuk dalam senarai (penerima) sijil Rektor,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Konvokesyen UIAM ke-38 sidang ketiga.

**media[2010348]**

Dalam majlis itu, seramai 414 orang graduan menerima ijazah sarjana muda dalam bidang undang-undang (AIKOL) manakala seramai 199 menerima ijazah sarjana muda seni bina dan reka bentuk alam sekitar (KAED).

Majlis Konvokesyen UIAM berlangsung selama lima hari bermula 3 hingga 7 Disember.

Dalam Majlis Konvokesyen UIAM ke-38 ini, seramai 5,189 graduan menerima skrol masing-masing melibatkan 17 kuliyyah dalam pelbagai bidang pengajian diperingkat doktor falsafah, ijazah sarjana dan ijazah sarjana muda.

Adnan dalam masa sama turut mendapati bahawa pembelajaran adalah mudah walaupun bidang tersebut undang-undang.

“Kalau kawan-kawan mengambil masa tertentu atau tempat yang sunyi, saya lebih suka dikelilingi oleh kawan-kawan. Mereka datang minum kopi sambil itu saya belajar.

“Ramai orang agak hairan tetapi saya tak ada kawan, tak ada teman, saya tak boleh belajar. Saya mesti ada ramai kawan-kawan, baru boleh membaca dan menulis,” ujarnya.

Ditanya mengenai perancangannya selepas ini, Adnan berkata akan membuat ‘chambering’ dengan syarikat guaman.

“Buat masa ini saya telah dapat banyak tawaran di syarikat-syarikat guaman untuk buat ‘chambering’ dengan mereka.

“Saya akan pilih. Besar kemungkinan saya akan buat di Kuantan,” jelasnya.