Nekad berhenti kerja jaga adik terlantar sakit

in Edisi Kelantan by

Muhamad Adol membantu Robiah memberi susu kepada Mohamad Rasydan di rumahnya di Kampung Chuchoh Puteri.

KUALA KRAI – Keadaan kesihatan adiknya yang terlantar akibat jangkitan kuman pada otak atau tuberkulosis (TB) menyebabkan Muhamad Adol Mohd Razali, 34, mengambil keputusan berhenti kerja lima bulan lalu.

Muhamad Adol yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, adiknya, Mohamad Rasydan Mohd Razali, 22, kini separuh koma dan memerlukan pemantauan rapi setiap hari.

Lebih menguatkan keputusannya untuk berhenti kerja apabila bapanya, Mohd Razali Mat Nor, 59, tidak lagi menoreh getah selain musim hujan manakala keadaan ibunya, Robiah Dollah, 58, yang turut mengalami sakit saraf.

Berkongsi kisah mengenai adiknya, Muhammad Adol berkata, Mohamad Rasydan sebelum ini bekerja di kantin sebuah kilang di Shah Alam.

“Dua minggu sebelum Hari Raya Haji tahun ini, dia memaklumkan mengalami sakit kepala dan kami menasihatkannya pulang ke kampung.

“Keadaannya semakin teruk dan pada hari raya kami membawanya ke hospital selepas keadaan semakin serius sehingga dimasukkan ke wad Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Chuchoh Puteri pada Jumaat.

Pada awalnya, menurut Muhamad Adol, mereka dimaklumkan adiknya menghidap penyakit kencing tikus dan mendapat rawatan di wad selama beberapa hari.

“Keadaan kesihatannya tidak banyak berubah selepas diberikan ubat sehingga terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) selama lebih sebulan,” katanya.

Jelasnya, selepas air tulang belakang diambil, Mohamad Rasydan didapati dijangkiti tibi yang turut menyerang bahagian saraf.

“Sejak itu dia hanya terlantar dalam keadaan separa koma dan bergantung sepenuhnya kepada susu yang diberikan melalui saluran tiub pada hidung.

“Lebih menyedihkan lehernya juga ditebuk untuk memudahkan pernafasan,” katanya.

Bercerita lanjut, pemuda itu memberitahu, dia tidak kisah menjaga dan bertanggungjawab mengurus serta menyediakan keperluan adiknya setiap hari.

Katanya, adik-beradik lain sudah berkahwin dan mempunyai tanggungjawab kepada keluarga, namun memberitahu mereka tetap memberikan wang untuk perbelanjaan mengikut kemampuan.

Tambahnya, Mohamad Rasydan memerlukan sekurang-kurangnya RM2,500 sebulan untuk kos rawatan, lampin pakai buang serta tambang ambulans setiap kali ada janji temu di hospital.

“Susunya sahaja berharga RM80 setin yang bertahan empat hari.

“Bagaimanapun, alhamdulillah ada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan yang dapat meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.

Keluarga berkenaan turut dikunjungi Pengerusi Cempaka Merah Asnaf Society, Che Norhayati Mohamed.

Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh terus ke akaun Bank Simpanan Nasional 0300541000173906 atas nama Robiah Dollah atau menghubungi Muhamad Adol di talian 017-9761736.