Pamer aksi 'berani mati' kejutkan Brazil

in Sukan by

Heung-min (kanan) mahu rakan sepasukan Korea Selatan melakukan keajaiban mengalahkan Brazil pada aksi kalah mati Piala Dunia Qatar 2022 pada Selasa. – Foto EPA.

BINTANG Korea Selatan, Son Heung-min mengajak rakan sepasukan mencipta satu lagi sensasi dengan menewaskan Brazil dalam saingan kalah mati Piala Dunia Qatar 2022 Selasa ini selepas mempamerkan aksi ‘berani mati’ ketika menentang Portugal lalu.

“Kami sering bercakap mengenai mara ke pusingan 16 terbaik sebagai objektif, tetapi kami kini mahu mencuba untuk melepasinya.

“Saya harap kami boleh melakukan kejutan yang lain,” katanya.

Perjalanan skuad Kimchi dilihat hampir berakhir sehinggalah pemain gantian Hwang Hee-chan dimasukkan pada masa kecederaan untuk meledak jaringan kemenangan 2-1 ke atas Portugal yang sudah pun melayakkan diri di Qatar, Jumaat lalu.

Sikap dipamerkan itu mendorong mereka mara ke pusingan kalah mati dan bertemu Brazil, pasukan pilihan untuk bergelar juara.

Bagaimanapun, Heung-min yang beraksi menggunakan topeng kerana menjalani pembedahan bulan lalu susulan retak di bahagian mata kiri berkata, mereka masih belum bersedia untuk pulang awal.

“Sesuatu yang hebat, tetapi kejohanan kami masih belum berakhir,” ujar penyerang Tottenham Hotspur itu.

Peminat di Korea Selatan mula membandingkan skuad kali ini dengan pencapaian pasukan kebangsaan pada 2002 yang mengejutkan dunia mara ke separuh akhir.

Penolong jurulatih, Sergio Costa yang mengalas tugas ketika pertarungan Kumpulan H dengan Portugal selepas jurulatih Paulo Bento digantung, menolak perbandingan tersebut.

Beliau tidak boleh membuat perbandingan kerana menonton Piala Dunia 2002 di televisyen dan tidak tahu mereka secara peribadi.

“Saya menonton beberapa perlawanan sebelum ini, tetapi tidak boleh membuat perbandingan kerana saya tidak tahu pasukan Korea yang sebelumnya.

“Saya hanya boleh memberitahu bahawa ini adalah sebuah pasukan yang sangat jujur. Ini adalah sesuatu yang kami sangat banggakan, kami melihat pemain yang mempunyai personaliti kuat dan mereka layak dengan apa yang dicapai,” katanya.