Pengiktirafan kepada GPS, blok Borneo: Fadillah

in Politik by

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof menyifatkan pelantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam barisan kabinet Kerajaan Perpaduan sebagai pengiktirafan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta blok Borneo iaitu Sarawak dan Sabah.

Beliau yang turut memegang portfolio Menteri Perladangan dan Komoditi itu turut menzahirkan penghargaan diatas pelantikannya, selain menyedari tanggungjawab besar yang perlu dipikul selepas ini.

“Menjunjung kasih Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di atas kebijaksanaan dan nasihat Baginda sehingga terbentuknya Kerajaan Perpaduan.

“Terima kasih (kepada) Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang memberi peluang kepada saya berkhidmat dalam kabinet Perpaduan. Terima kasih Premier Sarawak (Tan Sri Abang Johari Tun Openg) serta seluruh kepimpinan parti, ahli-ahli Parlimen Sarawak, ahli-ahli parti dan rakyat Sarawak di atas kepercayaan yang diberi,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Ahad.

Fadillah yang merupakan Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pernah membarisi Kabinet Persekutuan di bawah empat Perdana Menteri antaranya sebagai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ketika pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2008.

Pada 2013, beliau dilantik sebagai Menteri Kerja Raya dalam kabinet Datuk Seri Najib Tun Razak, seterusnya mengetuai kementerian itu di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selain itu, Fadillah pernah dilantik sebagai Menteri Kanan Kerja Raya dalam Kabinet Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 30 Ogos tahun lalu.