Pertimbang semula pembinaan HSA2: Exco

in Edisi Johor by

Tian Soon

ISKANDAR PUTERI – Pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA2) diharap dipertimbangkan semula di peringkat Pusat di bawah Kerajaan Perpaduan.

Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, projek pembinaan HSA2 tidak disenaraikan sebagai projek pembangunan di dalam Bajet 2023 yang dibentangkan sebelum ini.

Menurutnya, HSA2 amat diperlukan memandangkan Johor Bahru mengalami kepadatan penduduk dan memerlukan infrastruktur perkhidmatan kesihatan baharu selain hospital sedia iaitu HSA dan Hospital Sultan Ismail (HSI).

“Kerajaan dan Bangsa Johor amat berharap supaya pembinaan HSA2 dipertimbangkan semula memandangkan HSA dan HSI sudah hampir mencapai kapasiti penggunanya malah kadar pesakit yang semakin meningkat.

“Justeru Kerajaan Perpaduan serta Menteri Kesihatan, Dr Zalifa Mustafa yang juga Ahli Parlimen Sekijang dari Johor dapat meneliti semua permohonan pembinaan HSA2,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas sesi soal jawab lisan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Ahad.

Pada Jun lalu, Tian Soon yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng dilaporkan berkata, HSA2 dijangka dibina di atas tanah seluas 207.5 hektar di Kempas pada 2024 sekiranya diluluskan kerajaan dan dibentangkan dalam Bajet 2023.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga sudah membayar premium tanah bagi pembinaan hospital terbabit.

Dalam pada itu, Tian Soon berkata, beberapa faktor yang dipercayai menjadi punca pembinaan HSA2 tidak dimasukkan dalam Bajet 2023 termasuk isu setinggan di tapak projek itu di Kempas.

“Setinggan di tapak HSA2 masih belum dikosongkan sepenuhnya, namun kita yakin ia dapat diatasi memandangkan premium tanah tapak berkenaan sudah dibayar KKM.

“Difahamkan juga masih terdapat lebihan tanah di sebelah tapak cadangan HSA2 itu yang boleh dilaksanakan dahulu kerja awal termasuk reka bentuk antara Jabatan Kerja Raya (JKR) dan KKM,” katanya.