PRU15: 'Pengundi Tioman pilih calon buat kerja, bukan parti'

in Politik by

Osman beramah mesra dengan penduduk di DUN Tioman ketika melakukan kempen PRU15 di sekitar Tioman pada Ahad.

ROMPIN – Majoriti pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman disifatkan lebih cenderung memilih calon boleh membela nasib rakyat, bukan atas ketaatan kepada mana-mana parti.

Calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Osman A Bakar berkata, berdasarkan sentimen ditunjukkan pengundi membuatkan beliau yakin boleh mendapatkan majoriti pengundi yang menyokongnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Rabu ini.

“Saya membesar dan kenal ramai orang di DUN Tioman. Saya masih berpeluang jika ada pengundi membuat pilihan berdasarkan individu, dan mampu melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat dengan sebaiknya, bukan melihat parti semata-mata.

“Namun yang menjadi kebimbangan saya adalah jika ramai tidak keluar mengundi pada Rabu tetapi saya harapkan semua pengundi menghormati proses demokrasi dan keluar mengundi,” katanya pada Ahad.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRU15 bagi DUN Tioman yang ditangguhkan susulan kematian calon Perikatan Nasional (PN), Allahyarham Md Yunus Ramli pada 3.30 pagi hari pengundian 19 November lalu, diadakan pada 7 Disember ini.

Osman mencabar calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Fadzli Mohd Ramly dan tiga lagi calon iaitu Datuk Seri Mohd Johari Hussain (Barisan Nasional), Nor Idayu Hashim (Perikatan Nasional) dan Sulaiman Bakar (Bebas).

Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan mengandungi 28,465 pemilih terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 anggota polis dan tiga pengundi tidak hadir luar negara.

Pada PRU14 lalu, Mohd Johari menang dengan majoriti 1,280 undi.

Mengulas lanjut Osman berkata, sepanjang berkempen, pengundi dilihat mahu memilih wakil rakyat yang mampu memberi komitmen tinggi dalam merancang dan memajukan sesebuah kawasan DUN.

“Saya lihat pengundi makin teliti dalam memilih siapa wakil rakyat yang akan mewakili suara mereka selepas berakhirnya PRU15.

“Kalau sekadar hendak menang tetapi tiada perancangan dibuat dan tidak mampu menguruskan DUN masing-masing, maka ia membawa satu kerugian kepada pengundi.

“Jadi, disebabkan itu mereka (pengundi) tidak mahu tersalah pilih, sebaliknya mereka menyemak kembali kualiti calon yang dipertandingkan supaya pemimpin yang dipilih boleh berfungsi dan bekerja sepanjang tempoh lima tahun lagi,” jelas beliau.