'Saya kuat atas doa anda semua' – Pele

in Global by

Sebagai tanda sokongan kepada beliau, Qatar selaku tuan rumah Piala Dunia turut memaparkan mesej ‘semoga cepat sembuh’ pada Menara Aspire di Doha. – Foto Agensi

SAO PAULO – ‘Saya jadi kuat kerana doa anda semua’.

Kenyataan itu dikeluarkan legenda bola sepak Brazil, Pele yang kini sedang dirawat di sebuah hospital di Sao Paulo.

Terdahulu, jurucakap Hospital Israelita Albert Einstein itu mengesahkan Pele berada dalam keadaan stabil setelah media tempatan melaporkan beliau dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) berikutan tubuhnya tidak bertindak balas terhadap rawatan kemoterapi.

“Saya mahu memastikan seluruh rakan dan penyokong saya bertenang serta kekal positif. Saya sedang menjalani rawatan seperti biasa.

“Jutaan terima kasih kepada seluruh pasukan perubatan atas penjagaan rapi yang mereka berikan. Saya percaya dengan kuasa Tuhan kerana saya terima banyak ucapan yang mendoakan saya dari seluruh dunia yang menjadikan saya untuk menjadi lebih kuat.

“Saya juga menonton pasukan kebangsaan Brazil beraksi pada Piala Dunia! Terima kasih atas segala-galanya,” kata pemain bola sepak terbaik sepanjang zaman itu menerusi Instagram pada Sabtu yang turut menerima lebih 550,500 tanda suka.

Juara Piala Dunia tiga kali berusia 82 tahun itu dimasukkan ke hospital sejak Selasa lalu setelah keadaan kesihatannya merosot selepas menjalani pembedahan barah usus pada September 2021.

Pele disahkan menghidap jangkitan pernafasan dan diberikan rawatan segera serta menjalani penilaian semula rawatan kemoterapi.

Sebagai tanda sokongan kepada beliau, Qatar selaku tuan rumah Piala Dunia turut memaparkan mesej ‘semoga cepat sembuh’ pada Menara Aspire di Doha. – Agensi