Tambang bot ke Pulau Tioman dikurangkan 50 peratus

in Edisi by

Wan Rosdy – Foto Bernama

ROMPIN – Kerajaan Pahang bersetuju untuk mengurangkan 50 peratus tambang bot ke Pulau Tioman berbanding kadar semasa sebanyak RM50.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu dibuat selepas mendengar pelbagai rungutan daripada penduduk di Pulau Tioman termasuk harga tambang feri yang dikatakan membebankan mereka.

“Saya mendapati kerajaan Pahang seharusnya mempertimbangkan keluh kesah mereka (penduduk di Pulau Tioman) dan bersetuju memberi kelulusan untuk mengurangkan tambang feri daripada RM50 kepada RM25.

“Ini bermakna kerajaan Pahang terpaksa memberi subsidi sebanyak RM500,000.

“Jadi, saya percaya dengan adanya penurunan harga tambang, ia sedikit sebanyak boleh meringankan beban yang ditanggung oleh penduduk di Pulau Tioman ini,” katanya pada sidang akhbar di Kampung Tekek Pulau Tioman di sini.

Hadir sama Ahli Mesyuarat Kerajaan (Exco) Pahang, Datuk Seri Johari Harun dan calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Datuk Seri Mohd Johari Hussain.

Menyentuh mengenai jeti kargo, Wan Rosdy menjelaskan, satu permohonan kepada Kementerian Pengangkutan telah dikemukakan bagi membaik pulih jeti terbabit yang menelan kos hampir RM8 juta.

Bagi tujuan itu, tambahnya, kerajaan Pahang telah memberikan peruntukan sebanyak RM1 juta.

Dalam pada itu, Wan Rosdy memaklumkan sebuah klinik bagi menempatkan ibu-ibu bersalin di Pulau Tioman telah diberikan kelulusan.

“Seorang doktor pakar akan ditempatkan di klinik berkenaan selain mengetuai wad tersebut. Saya percaya kemudahan ini akan dapat dinikmati oleh penduduk di kawasan Pulau Tioman,” ujarnya sambil memberitahu usaha itu sudah dilakukan Mohd Johari sebelum pembubaran DUN.