Amaran tegas kepada Netanyahu

in Global by

Blinken menegaskan pentadbiran Biden akan berusaha memelihara& langkah perdamaian yang bertujuan untuk penubuhan negara Palestin. – Foto: Agensi

WASHINGTON – Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken berikrar untuk menentang projek penempatan haram atau pengilhakan di Tebing Barat.

Amaran itu secara terang-terangan diberikan kepada kerajaan baharu yang dibentuk Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu setelah banyak pihak bimbang dengan penyertaan ahli politik ekstremis dan berhaluan kanan yang akan menggugat hak penduduk Palestin.

Sebagai cubaan untuk mengelakkan sebarang salah faham bersama sekutu kuat AS itu, Blinken juga menyatakan kononnya beliau tidak akan menilai kerajaan gabungan baharu tersebut berdasarkan personaliti mereka.

“Hanya tindakan dan pelaksanaan dasar mereka akan dinilai,” ujarnya kepada kumpulan sokongan pro-Israel, J Street pada Ahad.

Menurutnya, pentadbiran Presiden Joe Biden akan berusaha ‘memelihara’ langkah perdamaian yang bertujuan untuk penubuhan negara Palestin.

“Kami akan menentang sekeras-kerasnya sebarang rancangan yang mahu menjejaskan prospek penyelesaian dua negara atau mengancam status quo,” katanya lagi.

Difahamkan, pemimpin Religious Zionism, Itamar Ben-Gvir yang dijangka memegang jawatan penting dalam kerajaan pimpinan Netanyahu merupakan penyokong utama projek penempatan haram selain mengutamakan agenda Yahudi yang dikhuatiri akan menindas lagi penduduk Palestin. – AFP