Bahana England kekal lama di Qatar 2022

in Sukan by

Saka (kiri) meraikan kejayaan selepas melebarkan kedudukan England ketika berdepan Senegal di pusingan 16 terbaik Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Al Bayt, Al Khor. FOTO: EPA

TAHAP kejayaan dilakar England di pusingan akhir Piala Dunia Qatar 2022 dijangka bakal menentukan kadar kes positif Covid-19 di negara tersebut sepanjang tempoh Krismas, menurut pandangan ahli epidemiologi.

Malah Profesor Christophe Fraser berkata, semakin lama skuad kendalian Gareth Southgate itu kekal dalam saingan di Piala Dunia Qatar 2022, semakin banyak kes positif Covid-19 berpotensi merebak apabila orang ramai mengunjungi pub dan rumah rakan masing-masing untuk menonton setiap perlawanan.

Kesan sebelum ini terbukti – sebelum ketibaan vaksin – semasa kejuaraan Euro 2020, yang mana kajian mendapati berlaku peningkatan kadar kes positif Covid-19 semasa penganjuran acara besar yang mengundang risiko terhadap kesihatan awam di negara tersebut.

Daripada 49 hari acara muzik, sukan dan hiburan yang dipantau sebagai sebahagian daripada kajian itu, 85 peratus daripada semua jangkitan yang ditemui dikaitkan dengan lapan perlawanan di Wembley, berjumlah lebih 6,300 jangkitan baharu dengan kebanyakannya berpunca daripada perlawanan separuh akhir dan final Euro 2020.

“Ia adalah acara yang jauh lebih besar dari segi mencampurkan orang dan menyebarkan virus daripada perayaan Krismas tahun itu…

“Ini menunjukkan bahawa faktor utama dalam mempengaruhi kadar jangkitan tahun ini adalah prestasi England semasa pusingan akhir Piala Dunia.

“Kami berada dalam kedudukan yang lebih baik berbanding dua tahun lalu, sudah tentu vaksin membantu memastikan perkara itu dan tidak ada sebab peminat tidak boleh menikmati Piala Dunia,” kata ahli epidemiologi dari Universiti Oxford itu.

Naib juara Euro 2020, England sebelum itu memulakan perjalanan berliku dalam misi mengakhiri kemarau Piala Dunia apabila mengatasi Senegal 3-0 dalam perlawanan pusingan 16 terbaik Qatar 2022 di Stadium Al Bayt, Al Khor pada Isnin.

Kejayaan The Three Lions mara ke suku akhir Piala Dunia buat kali ke-10, mengimbau kembali pencapaian angkatan Inggeris itu semasa di bawah Walter Winterbottom (1954 dan 1962), Alf Ramsey (1966 dan 1970), Bobby Robson (1986 dan 1990), Sven-Goran Eriksson (2002 dan 2006) dan terkini Gareth Southgate (2018 dan 2022).

Anak buah Southgate bermula garang pada babak pertama, namun mengambil masa lama untuk merobek gawang juara Afrika itu sebelum mendahului menerusi tonggak Liverpool, Jordan Henderson pada minit ke-38.

Bintang Tottenham Hotspur, Harry Kane kemudiannya melebarkan kedudukan hasil jaringan minit ke-48 untuk selesa mendahului Lions of Teranga separuh masa pertama.

Jaringan Kane itu juga menyaksikannya mengekori rapat rekod legenda England, Wayne Rooney (53 gol).

Babak kedua bersambung Senegal yang tampil tanpa Idrissa Gueye akibat digantung manakala pemain tengah, Cheikhou Kouyate yang cedera cuba untuk kembali bersaing.

Namun jaringan tonggak sensasi Arsenal, Bukayo Saka pada minit ke-57 menjadikan kedudukan 3-0 sekali gus mengakhiri cabaran kuasa bola sepak Afrika berkenaan.

Kemenangan fantastik itu melebarkan rekod tanpa kalah England sepanjang zaman menentang pasukan Afrika kepada 21 perlawanan, termasuk lapan dalam Piala Dunia.

England dijangka berentap dengan penyandang juara Perancis di suku akhir Stadium Al Bayt pada awal pagi 11 Disember.