Cabaran besar England

in Sukan by

Southgate (tengah) dan England berdepan misi besar menentang Perancis pada aksi suku akhir Piala Dunia Qatar 2022 pada Ahad. – Foto AFP

ENGLAND bakal berdepan ujian getir dalam misi mendakap Piala Dunia 2022 apabila akan membuat perhitungan dengan juara bertahan, Perancis dalam aksi suku akhir pada Ahad.

“Ia adalah ujian terbesar yang akan kami hadapi. Mereka juara dunia dan memiliki para pemain terbaik.

“Mereka sukar dicabar, apatah lagi untuk kami menjaringkan gol,” ujar pengendali England, Gareth Southgate

Skuad Three Lions beraksi cemerlang untuk menewaskan Senegal 3-0 dalam aksi kalah mati di Stadium Al Bayt pada Isnin.

England akan menentang Perancis yang memburu rekod sebagai pasukan pertama menjuarai Piala Dunia secara berturut-turut sejak dilakukan Brazil pada 1958 dan 1962.

Pasukan Uncle Sam itu dilihat bersedia untuk merobek gawang Perancis menerusi trio Jordan Henderson, Harry Kane dan Bukayo Saka yang meledak tiga gol ketika membenam Senegal.

Southgate bagaimanapun sedar skuad kendalian Didier Deschamps berada dalam kelas tersendiri.

“Ia satu cabaran menarik dan seteru yang mempunyai sejarah dengan permainan hebat daripada dulu lagi.

“Ia juga satu perlawanan yang menakjubkan untuk kami hadapi dan ujian buat diri sendiri bertemu pasukan yang sangat hebat,” ujar Southgate.

Diperkuatkan dengan kehadiran penyerang Paris Saint Germain, Kylian Mbappe, Perancis menewaskan Poland 3-1 pada pusingan 16 terbaik.

Mbappe menyumbat dua gol ketika menewaskan Poland dan sudah meledak lima gol dalam kejohanan kali ini.

“Mbappe seorang pemain berkelas dunia. Dia sudah mencapai sesuatu di sini dan juga di kejohanan sebelumnya,” kata Southgate.

Dia juga mengagumi barisan tengah Perancis yang dianggap sebagai fantastik.

“Griezmann (Antoine) juga seorang pemain fenomena, kami tahu Giroud (Olivier) melakukan yang baik dan mereka mempunyai barisan tengah yang menakjubkan.

“Ia satu ujian besar, tetapi (lawan) mereka adalah sesuatu yang kami nantikan,” ujar Southgate