‘Dot Dot Dot’ himpun karya terbaharu U-Wei Saari

in Nasional by

U-Wei; Johan; Penyunting Forum Press Sdn Bhd, Zinitulzina Abdul Kadir (kiri) dan Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Mohd Khair Ngadiron (kanan) ketika dalam pelancaran buku ‘Dot Dot Dot’ di Selangor International Book Fair (SIBF) 2022 di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Convention Centre, pada Isnin.

SHAH ALAM – Buku bertajuk ‘Dot Dot Dot’ karya U-Wei Saari menghimpunkan sebanyak 21 koleksi esei termasuk penulisan baharunya yang tidak pernah diterbitkan oleh mana-mana pihak.

U-Wei yang juga merupakan pengarah filem berkata, karya baharunya itu mengulas mengenai penulisan wartawan berpengalaman, Datuk Nuraina Samad menerusi buku ‘Tuesdays With Bapak’.

Nuraina merupakan anak kepada tokoh wartawan, Allahyarham Tan Sri A Samad Ismail atau lebih dikenali sebagai Pak Samad.

Bila mula (menulis) itu dah lama. Paling baru adalah (karya saya) yang tidak pernah keluar ini, saya ulas mengenai buku Nuraina.

“Saya siapkan di Moscow pada bulan 10 tahun ini,” katanya selepas pelancaran buku ‘Dot Dot Dot’ di Selangor International Book Fair (SIBF) 2022 di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Convention Centre pada Isnin.

Turut hadir dalam program tersebut adalah pelakon veteran, Jalil Hamid dan pelawak terkenal, Sabri Yunus.

Dalam pada itu, Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar berkata, hasil karya ‘Dot Dot Dot’ itu juga merupakan manifestasi idea daripada perspektif U-Wei sendiri.

Menurutnya, penulisan U-Wei meliputi pelbagai bidang termasuk filem, lukisan, buku dan kesenian secara keseluruhan.

“Oleh kerana itu, U-Wei telah memberikan satu dimensi baharu tentang isu yang berbangkit dalam kebudayaan, kesenian serta dunia kebukuan.

“Saya percaya bahawa buku ini akan dapat perhatian, antara lain kerana beliau sendiri adalah seorang yang dikenali dan juga seorang pengarah filem serta teater.

“Pada waktu yang sama, beliau telah menunjukkan mutu yang sepatutnya dari segi pembikinan filem,” ujarnya.