Hassan Karim luah rasa kecewa dalam puisi

in Politik by

Hassan

PASIR GUDANG – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menarik perhatian apabila memuat naik satu puisi dalam entri terbaharu Facebook miliknya ditujukan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sanggup menggadai prinsip dan perjuangan asal demi kuasa.

Puisi bertajuk Ku Simpan Risalah Reformasi Di Dalam Peti yang mempunyai 16 rangkap merupakan luahan kecewa Hassan dengan perkembangan politik terkini dipercayai merujuk kepada Pakatan Harapan (PH) yang sanggup membentuk kerajaan dengan BN.

Beliau secara puitis dan tersirat mengenang bagaimana Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berulang kali memberikan jaminan kepada pengundi bahawa beliau tidak akan menggadai prinsip demi kuasa.

“Maka, aku pun percaya, lalu aku kumandangkan suara keyakinanku ke setiap penjuru tanahair tercinta ini, ke bukit ke gunung, ke lembah, ke lurah ke tanah datar aku berbicara.

“Bahawa hidup ini hanya sekali, maka marilah kita rakyat marhaen, warga bawahan rakyat jelata, demi keadilan kita bersama, aku seru

kita bawa perubahan hakiki yang kita panggil reformasi,” tulisnya dalam puisi tersebut.

Hassan turut mengungkapkan rasa malunya dan beliau mengambil keputusan untuk menyimpan semua ucapan serta tulisannya yang mempromosikan reformasi, merujuk slogan politik Anwar sepanjang dua dekad melawan kerajaan yang diterajui UMNO.

“Kini aku malu pada diri sendiri, aku malu untuk ucapkan kata-kata keramat itu lagi, separuh jiwaku telah mati, aku merasa tewas, ketika menang tanpa integriti seperti ini.”

Pada masa sama, bekas Pengerusi PKR Johor itu turut menggesa supaya Perdana Menteri ke-10 itu berlaku jujur ‘di luar dan di dalam hati’.

“Apakah benar? Yang lurus itu dakwah, Politik ini bengkang bengkok rupanya? Naif sungguh aku ini, lurus bendul selama ini. Setelah terbangun dari mimpi, aku ambil peti kayu di tepi katil tidurku,” katanya lagi secara berkias dalam puisi tersebut.

“Lalu aku lipat dan kusimpan, segala risalah dan teks ucapanku, yang menyeru reformasi, reformasi, hampir suku abad, selama ini,” katanya lagi secara berkias dalam puisi tersebut.

Hassan sebelum ini merupakan wakil rakyat PKR yang lantang dan tidak bersetuju kluster mahkamah dilantik dalam kabinet kerajaan baharu.

Pada Jumaat, Anwar mengumumkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri walaupun Presiden UMNO itu berdepan 47 pertuduhan rasuah dan pecah amanah melibatkan jutaan ringgit.

Sebelum ini semasa berkempen dalam Pilihan RAya Umum ke-15 (PRU15) Anwar beberapa kali mengulangi pendirian bahawa kerajaan yang akan dibentuknya tidak akan memasukkan ahli politik yang terpalit skandal.

Bagaimanapun langkahnya melantik Zahid dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan mencetuskan kemarahan ramai di mana sebahagian ahli politik PH dilihat terpaksa mempertahankan keputusan itu, mengatakan lantikan Presiden UMNO adalah perlu supaya Anwar dapat terus berkuasa.