Kerajaan fokus usaha kestabilan politik, pemulihan ekonomi

in Nasional by

Saifuddin menyerahkan sumbangan komputer kepada Rela Daerah Kulim di IPD Kulim pada Isnin.

KULIM – Kerajaan akan terus memfokuskan kepada usaha kestabilan politik, pemulihan ekonomi dan pembelaan rakyat dari terus melayan kenyataan-kenyataan yang boleh mengganggu-gugat keamanan negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Kerajaan Perpaduan yang baharu dibentuk akan terus berkhidmat selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurutnya, amanah dan tanggungjawab yang dipikul adalah lebih besar untuk dilaksanakan dari terus melayan kenyataan-kenyataan yang boleh membawa kepada keresahan rakyat.

“Seperti mana nasihat berulang kali oleh Yang di-Pertuan Agong iaitu berusaha ke arah membawa kestabilan politik, kemudian fokus kepada isu pemulihan ekonomi dan tumpu kepada kerja-kerja pembelaan rakyat.

“Saya fikir itu fokus yang kami akan tunaikan tanggungjawab,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan media berhubung gelaran kerajaan zina serta luar tabii dilemparkan calon PN Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

“Kalau nak dilayan istilah semantik dan sebagainya itu tak habis kerja kita dan kita tidak akan membenarkan diri kita. Kerajaan baru ini terpesong dengan hal-hal picisan seperti itu.

“Tak perlu keluarkan kenyataan-kenyataan yang sudah tentu menimbulkan keresahan rakyat, rakyat penat, rakyat sedang menghadapi suasana pandemik ekonomi negara belum lagi dapat pulih sepenuhnya pendapatan rakyat masih terjejas, kita ada banyak kerja yang sedang menunggu kita,”katanya.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin Nasution berkata, ahli politik perlu berhenti mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan rasa tidak senang rakyat termasuk dakwaan mengatakan tempoh pentadbiran Kerajaan Perpaduan tidak kekal lama.

“Saya fikir itu cuma menyerlahkan satu sikap ahli politik yang tak habis-habis, kita sudah selesai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Yang di Pertuan Agong telahpun menyempurnakan proses pelantikan dan seorang perdana menteri telah diwujudkan,”katanya.

Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di sini pada Isnin.

Hadir sama Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad.

Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan dua buah bot penyelamat kepada IPD Kulim serta beberapa komputer kepada IPD Bandar Baharu dan Jabatan Sukarelawan Rakyat (Rela) Kulim.