Mengharapkan magis menteri wanita

in Lidah Pengarang by

Fadhlina Sidek

Tahniah kepada semua Jemaah Menteri yang telah dipilih menganggotai barisan kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.

Rata-rata masyarakat terkejut melihat senarai kabinet tersebut kerana terdapat muka-muka baharu yang tidak popular dan di luar jangkaan.

Yang pasti dalam senarai itu, ‘terselit’ dua wajah baharu pemimpin wanita bagi menerajui Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri pastinya mempunyai alasan tersendiri mengapa menyenaraikan barisan jemaah menteri yang terdiri daripada bukan calon-calon pilihan.

Uniknya ialah pelantikan Fadhlina Sidek sebagai Menteri Pendidikan. Beliau merupakan pengamal undang-undang dan sebelum ini pernah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Anti Rasuah Dewan Negara.

Sebelum ini, aktivis dan peguam itu dilihat kurang berminat menceburi politik. Sebagai seorang peguam syarie, Fadhlina terserlah sebagai pemimpin apabila menyertai PKR pada Julai 2020.

Beliau berjaya memenangi jawatan sebagai Ketua Wanita PKR mengalahkan Rodziah Ismail dalam pemilihan dalam parti itu pada Julai lalu.

Jika dilihat latar belakangnya, ternyata ahli Parlimen Nibong Tebal, Pulau Pinang itu mempunyai kredibiliti untuk menerajui Kementerian Pendidikan.

Sebaik sahaja diumumkan sebagai menteri, orang ramai menerusi media sosial turut memberi pelbagai pandangan, cadangan dan penambahbaikan kepada Fadhlina dalam sektor pendidikan.

Rata-rata terutamanya ibu bapa mengharapkan agar Fadhlina dapat membuat pembaharuan dalam usaha mengembalikan keseronokan pembelajaran dalam era pascapandemik Covid-19 ini.

Tidak kurang ada yang mengusulkan agar dikembalikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk murid-murid Tahun Enam dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi pelajar-pelajar Tingkatan Tiga.

Oleh itu, besar harapan agar Fadhlina dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang diamanahkan sebagai Menteri Pengajian Tinggi dapat memainkan peranan memperbaiki sistem pendidikan negara dan memberi dedikasi dalam mempertingkatkan kemajuan dunia pendidikan dengan memperkenalkan dasar progresif demi memperbaiki sistem pada masa kini.