Mohamad Hasan akan meneliti isu projek LCS

in Nasional by

Mohamad tiba di Kementerian Pertahanan bagi memulakan tugas pada Isnin.

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan akan meneliti isu projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) sebaik sahaja beliau memulakan tugas secara rasmi.

“Biar saya duduk dalam pejabat (Kementerian Pertahanan) sebelum gerak kerja dibuat untuk meneliti perkara itu,” katanya dalam sidang akhbar di Kementerian Pertahanan, di sini, pada Isnin.

Mohamad tiba di Kementerian Pertahanan bagi memulakan tugas dengan mengimbas kad perakam waktu pada jam 3 petang.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Muez Abd Aziz dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Media sebelum ini, melaporkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menyatakan kerajaan telah membayar RM6.083 bilion untuk lima LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

Laporan yang dikeluarkan pada 4 ogos lalu turut menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam LCS bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai RM9 bilion.

Pada 2 Oktober lalu, bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilaporkan berkata, fasa mobilisasi projek LCS selama enam bulan bermula Jun menunjukkan perkembangan positif dan berjalan lancar selari dengan syor oleh beberapa pihak berkepentingan.