Muazin Masjid Negeri Selangor juara tilawah al-Quran Braille

in Nasional by

Juara keseluruhan MTQB 2022, Mohamad Syafiizwan ketika menyampaikan bacaan al-Quran pada majlis penutup.Juara qariah MTQB 2022, Afzam ketika menerima hadiah disampaikan Muhammad Yamin (tiga dari kanan) diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Maghfirah, Shuib Nordin (dua dari kanan).

KUALA LUMPUR – Muazin Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Mohamad Syafiizwan Mohd Suhaini muncul juara qari Majlis Tilawah Al-Quran Braille (MTQB) 2022 yang disertai 32 peserta orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan.

Pemuda berusia 22 tahun yang berasal dari Kapar, Selangor itu berkata, kecacatan penglihatan semenjak kecil bukan halangan membaca al-Quran.

Menurutnya, hampir setahun masa diambil untuk mempelajari dan mengenali kod Braille dalam al-Quran selain didedahkan dengan bacaan taranum seawal usia tujuh tahun.

“Waktu kecil, ayah saya, Mohd Suhaini Misbah, 60, ada beli kaset bacaan ayat al-Quran dan menyebabkan saya makin berminat.

“Saya pernah menyertai beberapa pertandingan tilawah atas dorongan ibu bapa dan guru,” katanya pada majlis penutup MTQB 2022 di sebuah hotel di sini pada Ahad.

Perasmian penutup disempurnakan Pengarah Kanan Bahagian Dasar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dr Muhammad Yamin Ismail.

MTQB 2022 dianjurkan Yayasan Maghfirah (YM) dengan kerjasama Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis).

**media[2011357]**

Sementara itu kategori wanita dimenangi peserta dari Kemaman, Terengganu, Afzam Mustafa, 42.

“Alhamdulillah, sebab awalnya tak sangka boleh baca dengan baik kerana saya masih belum sembuh daripada batuk.

“Saya sudah beberapa kali menyertai pertandingan tilawah al-Quran dan pernah juga menang.

“Saya berazam mahu mendidik lebih ramai golongan senasib mendalami al-Quran. Walaupun tidak sempurna kita juga boleh membaca dengan baik,” ujarnya.