NACCOL disegerakan tangani kos sara hidup: Salahuddin

in Nasional by

Salahuddin pada sidang media ketika Majlis Pertukaran Nota Serah Tugas di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, pada Isnin. – Foto Bernama

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan segera menggerakkan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) bagi mencari penyelesaian masalah kos sara hidup yang membelenggu rakyat.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, selaku urus setia NACCOL beliau akan segera mengadakan mesyuarat dengan Ketua Setiausaha (KSU) kementerian berkenaan, Datuk Azman Mohd Yusof bagi membincangkan perkara itu.

(Mesyuarat ini) ini untuk saya bentangkan kepada YAB Perdana Menteri langkah penyelesaian terhadap beberapa isu yang dibentangkan semasa mesyuarat antara Ketua Setiausaha Negara dan KSU-KSU bersama YAB Perdana Menteri pada 27 November yang lalu.

“Urusan tidak seperti biasa,” kata Salahuddin pada sidang media pertamanya di kementerian itu selepas majlis majlis serah nota tugas oleh bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi kepada beliau di sini hari ini.

Pada mesyuarat 27 November lalu, Anwar mengarahkan NACCOL untuk mencerakin dan menelusuri implikasi subsidi dalam tempoh dua minggu.

Sementara itu, Salahuddin berkata, penukaran nama daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kepada nama kementerian sekarang memberi petunjuk jelas keutamaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah mengurangkan tekanan sara hidup rakyat.

Salahuddin berkata, beliau akan memberi komitmen untuk menggembleng seluruh sumber kepakaran yang ada bagi memenuhi harapan seluruh rakyat Malaysia yang mahukan penyelesaian kepada kenaikan harga barang dan kekurangan bekalan makanan di pasaran selaras gagasan besar Perdana Menteri.

Katanya, kementerian itu akan menjalin kerjasama strategik dengan kementerian lain, terutamanya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang bertanggungjawab dalam pengeluaran makanan bagi mengoptimumkan pengeluaran dan meminimumkan kos pengeluaran.

Mengenai kekurangan bekalan telur ayam di pasaran yang meresahan masyarakat, Salahuddin yakin penglibatan agensi kerajaan dan pemain industri berupaya mencipta inovasi baharu bagi menyelesaikan perkara itu.

“Antara penyelesaian yang sedang saya teliti ialah (berkaitan) harga dan tempoh kawalannya, subsidi dan kaedah serta kecepatan penyalurannya, pengeksportan hasil pengeluaran negara dan kos produksi seperti harga input ternakan haiwan.

“Saya akan kerap bersama rakyat untuk mendapatkan maklumat secara langsung dan mengadakan libat urus dengan pemain industri dalam menentukan dasar dan pelan tindakan yang efektif agar penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi rakyat dapat diselesaikan segera,” katanya. – Bernama